» » Melayu, kenapa kau gila sangat nak jadi Arab?


SAMPAI habis bulan puasa saya tak jumpa jawapan kenapa apabila menjemput berbuka puasa atau bercerita bab buka puasa, ada sesetengah orang Melayu menyebutnya sebagai "iftar"? 

Hanya sesetengah, bukannya semua. 

Kenapa tidak kata "buka puasa"? Kenapa "iftar"?

Kalau segan sebut "buka puasa", kenapa tidak kata "sungkai"? "Sungkai" dalam ejaan baku atau "sung-kei" dalam sebutan lisan adalah perkataan yang juga membawa maksud "buka puasa". 

Ia bahasa sukuan Melayu di Sabah dan Sarawak.

Kenapa jauh-jauh sampai ke Arab mencari perkataan untuk "buka puasa"? 

Kenapa tidak jenguk ke Sabah dan Sarawak?

Saja tanya: Apakah lebih diterima puasa mereka yang "iftar" berbanding mereka yang "buka puasa"? Wallahu'alam.

Bagi sebuah negara yang Islamnya disekutukan dan diinstitusikan dengan Melayu serta tidak boleh lekang dengan Melayu -- bahawa Melayu itu Islam dan masuk Islam itu masuk Melayu -- kenapa "buka puasa" jadi Arab dan tidak jadi Melayu?

Sehari dua ini pula, sesetengah daripada mereka melayangkan ucapan "Eid Mubarak", bukan lagi "Selamat Hari Raya". 

Apa dosanya mengucapkan "Selamat Hari Raya" maka ditukar jadi "Eid Mubarak"? "Aidilfitri" pun ditukar jadi "Eidul Fitr".

Ini bukan masalah "iftar" dan "eid mubarak" sahaja. 

Ini masalah sejak sembahyang jadi solat, tudung jadi hijab. 

Sedekah yang sudah memang asal perkataan Arab itu pun tidak lagi cukup untuk mengungkapkan pemberian harta kepada orang lain maka sekarang disebut infaq.

Kata Melayu yang hendak jadi Arab: "Kalau anta senyum, itu pun sedekah tapi kalau anta beri duit, itu namanya infaq."

"Okay, bro. Tapi kenapa telekung jadi busana solat?" tanya Melayu yang bertahan cuba jadi Melayu.

Dari mana asal-usulnya semua ini sehingga Melayu hendak jadi Arab? 

Kenapa Melayu gila sangat hendak jadi Arab? 

Kenapa NGO Melayu tak beri perhatian soal Melayu tak mahu jadi Melayu ini? 

Bukankah kalau Melayu jadi Arab maknanya nanti Melayu akan hilang di dunia?

Adakah ini kesan panjang sejak Ayatollah Ruhollah Khomenei pulang ke Tehran pada 1 Februari 1979 dan memulakan revolusi agung terakhir, sekaligus membuka imaginasi seluruh dunia tentang Islam dan negara Islam. 

Sejak itu, Tanah Melayu ini diislamkan semula selepas pengislaman pertama oleh para pedagang yang singgah di pelabuhan Melaka semasa zaman kesultanan Melayu lama.

Atau apakah mungkin sebab lidah orang Melayu sekarang lebih mengenal nasi Arab berbanding nasi minyak dan nasi tomato atau setidak-tidaknya nasi ulam?

Di satu sudut Kampung Baru, kawasan petempatan tradisional orang Melayu tidak jauh dari KLCC yang dipertahankan bermati-matian biarpun terus diasak pembangunan dan pemodenan, sekurang-kurangnya ada empat buah restoran nasi Arab berderet di sebatang jalan.

Adakah itu sebabnya? Wallahu'alam.

Kepada Melayu-Arab, eid mubarak. Kepada Melayu yang lain-lainnya, selamat hari raya.

p/s: Orang Arab Islam menyambut Aidilfitri hanya sehari. Orang Melayu yang Arab atau yang lain-lain, Aidilfitrinya tidak usahlah terhentak sampai ke Hari Raya Haji.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

2 comments:

  1. Sy nk komen sikit tentang coretan Sang Penulis (SP) berkenaan isu EID MURABARAK, EIDUL FITRI, HIJAB dll perkataan arab yg SP bisingkan ni. Apa masalah dgn perkataan dr Bahasa Arab tersebut? Sy nk tny SP...Junjungan besar Nabi Muhammad berasal dr mana? Dari Arab bukan? Bahasa apa yg Baginda guna? Bahasa Arab bukan? Klu kita sebagai umat Baginda mengikut apa yg Baginda buat...ian ke kita ikut sunnah...kan ke boleh dapat pahala...kenapa nk bising? Sy nk tny SP dlm kehidupan seharian SP ada rak SP guna bahasa Inggeris seperti GOOD MORNING..GOOD AFTERNOON...HAPPY BIRTHDAY...I LOVE U...tu yg simple2 je...klu SP keje pulak...mungkin SP ada bertutur bahasa Inggeris kat opis (mkin la kot). Ada satu lg...tu kat atas tu SP ada tulis .."OK BRO"..kan BRO tu dtg dr peekatan Inggeris..BROTHER...boleh pulak guna perkataan inggeris tu? Klu SP blh guna perkataan BRO tu...sy yakin...SP mesti ada guna perkataan inggeris yg lain mcm sy sebut kat atas td. Tu bab bahasa...bab penampilan? Sy yakin SP mesti ada seluar jeans. Bukan kah itu pakaian BARAT yg cipta? Kenapa SP agung2 BARAT? Kenapa kita tak Agungkan sunnah nabi? Lihat keliling kita...kita byk ikut Sunnah nabi ke...kita ikut BARAT yg byk? SP fikir sendiri lah. Byk contohnya...tu kat tv...melambak yg dr barat...kenapa SP tak bising? Kenapa klu pasal yg dr BARAT semua boleh? Fikir2 kan lah. Tu sikit je tu sy bg contoh...contoh2 lain SP fikir sendiri lah. Klu semua sy ulas...tak cukup page ni. SEKIAN.

    ReplyDelete
  2. Teruskan berdebat , masing2 ada argument dan lgik masing2 . Selamat hari raya aidilfitri pada semua yang mengunjungi blog ini

    ReplyDelete

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .