» » 'Malaysia munafik, harus mengaku berdagang dengan Israel'


Pemimpin Malaysia munafik kerana tidak berani mengaku menjalinkan hubungan dagang dengan Israel melalui penghantaran produk minyak sawit ke Pelabuhan Ashod dan Haifa di negara berkenaan, kata Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin.

Badrul berkata, ketika pemimpin negara mengajak rakyat bersedih, kerajaan Malaysia sendiri menghantar sejumlah besar minyak sawit untuk kegunaan negara berkenaan, malah Malaysia adalah rakan dagang utama Israel.

"Kerajaan hari ini munafik, hipokrit, kita ajak rakyat menderma untuk Palestin, tapi kita hantar kapal besar untuk bantu ekonomi Israel.

"Kitalah punca, kita antara rakan dagangan utama, kalau kita hentikan Israel akan ada masalah," katanya pada sidang media di pejabat ahli Parlimen Lembah Pantai di Kuala Lumpur, hari ini.

Badrul turut menunjukkan bukti penghantaran kapal laut minyak sawit dari Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor ke Pelabuhan Ashod pada 3 Julai lalu.

"Penghantaran minyak sawit itu dijangka sampai 21 Julai depan," katanya yang juga dikenali sebagai Chegubard.

"Tiada apa lagi yang diharapkan, SAMM hanya mengharapkan kerajaan berterus terang kepada rakyat, negara ini sebenarnya pro Israel dari dulu, kini dan selamanya selagi Umno memerintah," katanya.

Badrul berkata, isu kemanusiaan dan peperangan di Palestin juga tidak akan pernah selesai selagi kerajaan Islam munafik seperti Malaysia terus wujud.

"SAMM seluruh negara juga dengan ini sebulat suara mengutuk perbuatan hipokrasi kerajaan Umno, Barisan Nasional (BN), Zionis glokal,” katnaya.

Beliau berkata, Malaysia juga seharusnya berani menyuarakan kebenaran mereka mengadakan hubungan dagang dengan Israel.

"Beritahu rakyat, ya kita berdagang dengan Israel, atas tujuan apa itu tidak mengapa," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyampaikan pendirian Malaysia untuk terus menyokong Palestin yang diserang rejim Zionis kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas.

Najib menyuarakan pendirian itu melalui panggilan telefon kepada Mahmoud yang dibuat pada jam 5.55 petang semalam.

"Dalam perbualan itu, saya nyatakan Malaysia merupakan antara negara yang kuat menyokong perjuangan Palestin," kata Najib ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin dan rakyat Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

"Dalam apa jua keadaan, Malaysia berdiri teguh menyokong perjuangan Palestin sehingga perjuangan mereka selesai," kata Najib.

Najib berkata, sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin itu tidak hanya datang daripada seluruh umat Islam tetapi juga daripada pelbagai bangsa dan agama di negara ini.

"Walaupun ada dalam kalangan pemimpin pembangkang yang kata kita patut mempertahankan hak Israel untuk mempertahankan diri tapi bagi kerajaan pimpinan Barisan Nasional, kita tetap mengutamakan hak dan kedaulatan rakyat Palestin," katanya.

Beliau turut menyifatkan serangan Israel sebagai respons tidak seimbang kerana bentuk serangan yang disasarkan kepada mangsa secara khusus dengan menggunakan senjata canggih.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .