Walau berapa pun jumlah kaji selidik mengenai hudud diadakan, ia tidak akan menghentikan PAS daripada melaksanakan hukum jenayah Islam itu di Kelantan, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, hari ini.
“Tidak kira berapa banyak kaji selidik dijalankan, hudud masih tetap wajib ke atas umat Islam,” kata naib presiden PAS itu kepada The Malaysian Insider.
“PAS mahu melaksanakan hudud bukan kerana kaji selidik atau kajian, tetapi kerana ia perintah Allah,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas keputusan kaji selidik Merdeka Centre semalam yang menunjukkan 59% rakyat Malaysia, dan 58% Melayu, berpendapat Malaysia belum bersedia untuk laksana hudud.
Pemimpin PAS itu berkata walaupun kaji selidik seumpama itu menyebabkan parti mempertimbang untuk menangguhkan hudud bagi membolehkan rakyat dididik mengenai hukum itu terlebih dulu, ia tidak akan menggagalkan rancangan utama mereka melaksanakan undang-undang berkenaan di Kelantan.
“Kaji selidik Merdeka diadakan di seluruh negara. Ia tidak adil, ia patut dibuat hanya di Kelantan kerana di situ tempat yang hendak kami laksanakan hukuman berkenaan.
“Kita sudah lama cuba melaksanakan hudud di Kelantan kerana di situ di mana kami terima mandat, dan rakyat Kelantan faham objektifnya ialah untuk melaksanakan perintah Allah,” katanya.
Beliau berkata, wujud masalah dalam menjalankan kaji selidik mengenai isu wajib ke atas umat Islam.
“Kita tidak boleh sewenang-wenang mengadakan kaji selidik mengenai peraturan Islam, bertanya merea sama ada setuju atau tidak. Sesuatu yang wajib kekal sebagai wajib.
“Saya rasa jika anda mahu mengadakan kaji selidik, mungkin ia berkenaan tahap pemahaman rakyat mengenai perkara itu,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata kesahihan keputusan kaji selidik itu dipertikaikan kerana nampaknya responden tidak faham bagaimana hudud akan dikuatkuasakan.
“Masalahnya ialah, kita tidak pernah laksana hudud, jadi rakyat tidak begitu tahu dengan pasti sama ada ia akan jadi baik atau tidak,” katanya.
Penemuan Merdeka Centre juga mendedahkan hanya separuh daripada peserta kaji selidik (51%) percaya hukum hudud tidak akan dilaksanakan dengan adil.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata, hudud adalah satu system dengan syarat yang sangat ketat.
Katanya, mana-mana kes yang ada walau sedikit keraguan akan dipindahkan ke mahkamah sivil.
“Jika ada sebarang ketidakadilan, ia bukan undang-undang itu, tetapi pelaksanaannya. Itu sebabnya Kelantan mahu menubuhkan mahkamah khas dengan hakim khas untuk melihat kes hudud.
“Akan ada panel hakim mendengar setiap kes bagi mengelak berat sebelah, dan akan ada beberapa mahkamah untuk memastikan keadilan,” katanya.
Beliau memastikan tidak akan ada campur tangan politik dalam pelantikan hakim, dan ada banya syarat yang perlu dipenuhi sebelum hakim dilantik.
Kaji selidik Merdeka Centre diadakan antara 12 April dan 21 April lalu, membabitkan 1,009 pengundi berdaftar terdiri daripada 60% Melayu, 31% Cina dan 9% India sebagai responden yang ditemubual menerusi telefon.
Mereka dipilih berdasarkan sampel secara rawak di samping kaum, jantina dan negeri tempat menetap.
Temubual dijalankan menggunakan bahasa yang dipilih responden.
Perdebatan mengenai hudud bermula selepas Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata negeri itu berhasrat membentangkan rang undang-undang persendirian untuk membolehkan kerajaan negeri melaksanakan hudud.
Rang itu akan membolehkan Kanun Jenayah Syariah Kelantan II, yang diluluskan pada 1993 oleh Dewan Undangan Negeri, dikuatkuasakan.
Susulan pengumuman itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom membuat kenyataan Putrajaya akan menyokong langkah negeri untuk melaksanakan hudud.
Susulan itu, wujud ketegangan antara PAS dengan rakan gabungan dalam Pakatan Rakyat, terutama DAP sehinggakan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke mencadangkan PAS keluar daripada gabungan Pakatan jika ia berniat untuk melaksanakan hudud di Kelantan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohaman Amar Nik Abdullah menambah ketegangan itu apabila berkata kerajaan negeri tidak memerlukan restu PKR dan DAP untuk melaksanakan hudud.
Bagaimanapun pada Mei, berikutan bantahan dan kritikan teruk, PAS membuat keputusan menangguhkan pembentangan rang undang-undang itu untuk membolehkan kerjasama Putrajaya dan Kelantan menerusi jawatankuasa teknikal mengkaji kesan terhadap Kanun Jenayah Syariah Kelantan II itu.
sumber
No comments: