Lim Kit Siang yang berdepan siasatan mengikut Akta Hasutan menuntut keadilan ke atas Teoh Beng Hock, mendakwa Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar mensasarkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).
Lim berkata langkah tersebut bukan pertama kali dilakukan Khalid, malah mendiang Karpal Singh juga menerima nasib sama.
"Selepas hukuman hasutan Karpal, Khalid mahu 'kulit kepala' saya, tendang saya dari Parlimen dan penjarakan saya kerana hasutan?" kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Karpal dijatuhi hukuman denda RM4,000 dan menghadapi kemungkinan dibuang Parlimen tetapi kemudiaannya terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia.
Menurut Lim, kenyataan Khalid yang mahu menyiasatnya mengejutkan ketika kumpulan ekstremis lain terlepas daripada tindakan tegas sedemikian.
"Saya terkejut apabila mendapat tahu polis mencari saya untuk mendakwa mengikut Akta Hasutan," katanya.
"Polis sangat pasif dan gagal bertindak apabila ada ancaman dan ugutan daripada individu ekstremis dan NGO yang melaungkan kebencian perkauman dan agama."
Beliau mempertahankan kenyataannya sebelum ini mengenai kematian Teoh dan menyelar pihak berkuasa kerana hingga hari ini tiada pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
"Boleh Khalid jelaskan mengapa polis tidak menyiasat pegawai MACC yang disyaki dalam kematian TBH?" katanya.
Semalam, Khalid berkata pihak polis akan mengambil keterangan Lim berhubung kenyataannya dalam sebuah laman portal The Rocket mengenai kematian Teoh.
Khalid berkata pihaknya menerima beberapa laporan berhubung kenyataan itu kerana ia didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan.
sumber
No comments: