» » Keluhan kenaikan harga barang jadikan Aidiltri dijangka hambar


Sambutan Aidilfitri pada tahun ini dirasakan kurang kemeriahannya apabila ramai ditemui mengeluh dengan kenaikan harga barang dalam membuat persiapan menyambut hari perayaan yang menjelang tidak lama lagi.

Kebanyakan yang ditemui The Malaysian Insider dapat merasakan Aidilfitri kali ini hambar apabila banyak barangan dijual pada harga di luar kemampuan mereka.

Malah, ada yang ditemui masih belum merasakan kehangatan Aidilfitri dan memilih untuk lebih bersederhana.

“Raya kali ini memang tak beli banyak. Harganya terasa lebih mahal berbanding tahun lalu.

“Tahun ini saya lebih cerewet untuk membeli. Semuanya saya pastikan berbaloi dengan nilai wang yang dibelanjakan,” kata Mohd Roslan Abidin, seorang guru sekolah di Klang.

Kunjungan ke sebuah bazar di daerah sama mendapati ramai yang sanggup bersesak-sesak meninjau gerai menjual pelbagai barangan Aidilfitri seperti baju, kasut dan perhiasan rumah, namun ramai yang memilih untuk tidak berbelanja.

Roslan, 32, berkata perbelanjaan Aidilfitri lebih kepada untuk isteri dan dua anaknya, namun semuanya tidak semeriah tahun lalu.

“Persiapan tahun ini memang biasa-biasa sahaja. Tidak mahu berbelanja lebih daripada kemampuan.

“Saya nampak pengunjung memang ramai. Tetapi yang membeli kurang. Kalau minta tawar pun, tidak diberikan potongan yang banyak,” katanya yang akan pulang beraya ke Kota Baru, Kelantan.

Bercerita lanjut mengenai persiapan Aidilfitri keluarganya, Roslan berkata tiada wang yang dikumpul lebih awal untuk menyambutnya kerana terpaksa menanggung perbelanjaan besar setiap bulan.

“Dalam masa sekarang memang tidak menyimpan. Rasanya, jumlah perbelanjaan hampir sama dengan pendapatan setiap bulan.

“Tidaklah sampai berhutang, tetapi jika berbelanja di pasaraya, saya gunakan kad kredit. Namun semuanya masih boleh dikawal,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Lain pula kisahnya bagi Sukainatul Azmi, seorang aktivis kemanusiaan yang masih belum merasakan bahang sambutan Aidilfitri.

Katanya, kesan kenaikan harga barang memang dirasai menyebabkannya memilih untuk tidak menambah koleksi pakaian raya.

“Kita pernah rasa daripada kos rendah sehingga meningkat macam ini. Kita turut merasakan kenaikan harga minyak kereta. Jadi, ia beri kesan kepada barangan Aidilfitri.

“Saya tidak beli baju raya. Serius. Pakai baju tahun lepas saja,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Ahli NGO, Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan Harum Nusantara (Harum) itu berkata, kesibukan hariannya menjadikan kehangatan Aidilfitri tidak dirasai.

Katanya, kenaikan kos sara hidup di samping menunjukkan solidariti kepada keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 menjadikan Sukainatul memilih untuk bersederhana meraikan Aidilfitri kali ini.

“Tidak rasa pun hendak raya. Agak susah tahun ini. Kita ditimpa tragedi MH17. Ditambah pula kos sara hidup yang tinggi.

“Saya ada menyimpan, tetapi untuk berbelanja lebih itu memang tidak,” katanya yang ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Nadia Badrul Hisham, 26, mengakui berlaku peningkatan harga barangan Aidilfitri berbanding tahun lalu, menjadikannya lebih berjimat dalam membuat persiapan.

Katanya, menunggu kelahiran cahaya mata sulung menjadikannya tidak memfokuskan perbelanjaan kepada sambutan Hari Raya.

“Barang pun banyak naik harga dan saya terkesan. Kewangan pula semakin berkurang. Persiapan saya kurang daripada tahun lepas.

“Kami buat persiapan di saat-saat akhir. Tengoklah apa yang boleh dibeli,” katanya yang kini berkhidmat di salah sebuah syarikat kewangan terkemuka di Kuala Lumpur.

Suasana hambar Aidilfitri kali ini turut dirasakan peniaga yang menjual barangan kelengkapan hari raya.

Tan Ah Leik, pengusaha kedai pakaian di Klang, Selangor mengakui tarikh Aidilfitri yang jatuh pada hujung bulan sedikit sebanyak memberi kesan kepada corak pembelian pengunjung kali ini.

Katanya, situasi itu berbeza jika dibandingkan Aidilfitri tahun lalu yang jatuh pada awal bulan, memberi pelanggan lebih kuasa membeli pada tempoh berkenaan.

“Sekarang kurang banyak, bukan kurang sikit. Masa gaji pun tak 'ngam.' Tahun lepas raya awal bulan, gaji hujung bulan. Kali ini raya hujung bulan, gaji belum keluar, kita susah juga.

“Saya ingat orang kali ini kurang membeli. Nampak pasaran suhah tidak 'ngam' lagi,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Pemilik kedai pakaian Indah Pesona ini menganggap musim perayaan kali ini tidak memberi tuah baginya kerana hasil jualan tidak semewah pada tahun lalu.

“Mereka cakap belum gaji, belum dapat bonus. Jika raya seperti tahun lepas, keuntungan pun boleh dapat dua kali ganda. Kali ini kos pun tak dapat, susah sikitlah.

“Kali ini kami berniaga dalam keadaan pasaran tidak baik. Tak tahulah mereka mahu pakai wang atau apa (hutang). Kita pun tak boleh kawal. Berniaga kecil,” katanya mengeluh di balik timbunan kain yang masih banyak belum terjual.

Peniaga kedai bunga hiasan di kawasan sama, Steven Lim berkata kemerosotan perniagaannya berbanding tahun lalu mencecah 30%.

Katanya, pengunjung kali ini lebih gemar membuat tinjauan daripada membeli walaupun Aidilfitri bakal menjelma tidak lama lagi.

“Walaupun sudah 10 hari terakhir, jualan masih kurang. 2, 3 hari lagi pun tidak tahu boleh habis atau tidak.

“Orang jalan saja, pusing-pusing. Dulu wang ada, memang orang beli banyak. Beli bunga hingga enam set, tetapi sekarang satu saja.

“Mahu makan pun susah, lagi mahu beli bunga?” katanya yang kelihatan sugul menunggu kehadiran pelanggan.

Pengusaha kuih raya, Awatif Othman pula melihat pengunjung kali ini lebih berhati-hati dalam pembelian walaupun ramai yang sudah mendapat gaji bulanan.

“Sambutan menggalakkan tetapi tidak semua yang datang membeli. Tahun ini agak kurang berbanding tahun lepas.

“Mungkin faktor ekonomi atau sebagainya. Mereka agak kawal sikit perbelanjaan. Nampaknya mereka berdikit-dikit hendak keluar duit,” katanya .

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .