» » James Rodriguez Diperkenalkan Sebagai Pemain Real Madrid


PEMENANG kasut emas Piala Dunia, James (disebut: Ha-Mes) Rodriguez telah menandatangani kontrak selama enam tahun dengan Real Madrid dalam perpindahan bernilai £60 juta dari Monaco sekaligus menjadikannya sebagai pemain keempat termahal di muka bumi.

Penyerang Colombia itu telah diperkenalkan kepada pihak media dan penyokong Real di Santiago Bernabeu pada Selasa petang waktu tempatan.

Hanya Gareth Bale (£80 juta), Cristiano Ronaldo (£80 juta) dan pemain baru Barcelona, Luis Suarez (£75 juta) berada di depan Rodriguez sebagai pemain-pemain termahal dunia.

Dengan Toni Kroos (£24 juta) dan Karim Benzema (£30 juta) Real kini memiliki barisan pemain dengan nilai semasa £274 juta keseluruhannya.

Presiden Madrid, Florentino Perez menyambut kedatangan Rodriguez yang kemudiannya dibandingkan dengan seorang lagi legenda Real, Alfredo Di Stefano yang juga berasal dari Colombia.

"Anda akan berasa seperti Colombia berada di sisi anda di sini," kata Perez.

Rodriguez kemudian berkata: "Saya harap saya akan menang piala yang banyak di sini...Hola Madrid."

Pemain berbakat berusia 22 tahun itu adalah salah seorang bintang baru yang dilahirkan menerusi temasya Piala Dunia menjaringkan gol dalam setiap perlawanan Colombia sehinggalah mereka sampai ke peringkat suku akhir buat pertama kalinya dalam sejarah tetapi tewas 1-2 kepada Brazil.

Keseluruhannya Rodriguez menjaringkan enam gol untuk muncul sebagai penjaring terbanyak - satu gol lebih daripada penyerang Jerman Thomas Muller.

Tetapi jaringan volleynya dari jarak 25 ela ketika menentang Uruguay telah diundi sebagai gol terbaik dan tercantik sepanjang temasya Piala Dunia.

Kemunculan Rodriguez di Madrid kurang seminggu selepas juara Piala Eropah itu membawa masuk perancang tengah Jerman, Toni Kroos, yang juga seorang lagi superstar Piala Dunia.

Rodriguez memulakan kerjaya bolasepaknya bersama kelab Colombi, Envigado sebelum berpindah ke kelab Argentina Banfield ketika berusia 17 tahun.

Kelincahannya di atas padang menarik perhatian juara Portugal, Porto, yang kemudian membelinya pada harga £4 juta pada tahun 2010.

Bersama Porto, Rodriguez membawa pulang kejuaraan liga dan Piala Liga Europa.

Tiga tahun kemudian dia telah dibeli oleh Monaco pada harga £38.5 juta.

Bersama Monaco pula, dia telah menjaringkan 10 gol dalam 38 perlawanan dalam semua pertandingan dan kelab itu muncul naib juara Liga Perancis di belakang Paris St Germain.

Naib Presiden Monaco, Vadim Vasilyevost berkata mereka tidak berhasrat untuk melepaskan Rodriguez tetapi akhirnya akur perpindahan tersebut adalah sesuatu yang sangat bermakna bukan sahaja kepada pemain itu tetapi kepada semua pihak.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .