Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menafikan khabar angin dia keluar parti semalam, yang tersebar selepas Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diumum sebagai calon menteri besar Selangor baharu.
Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa diketahui sudah mengintai lama jawatan penting di negeri terkaya di Malaysia tersebut.
"Pejabat Mohamed Azmin Ali menafikan perletakan jawatan YB Mohamed Azmin dalam PKR," kata kenyataan tersebut.
Dalam sebaran Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) semalam, Azmin dikatakan meletak jawatan dalam parti dan menjadi ahli Parlimen Bebas.
Pejabat Azmin juga mendakwa khabar angin tersebut diwujudkan bertujuan untuk memecah-belahkan perpaduan parti, pada ketika pergelutan memang berlaku melibatkan kepimpinan di negeri Selangor.
"Justeru, sebaran tersebut diyakini bertujuan untuk memecah-belahkan perpaduan dalam Pakatan Rakyat khususnya PKR," katanya.
Kenyataan tersebut juga memberitahu Azmin ketika ini berada di Mekah menunaikan ibadah Umrah dan menolak kebenaran khabar angin tersebut.
Khabar angin peletakan jawatan ini bukan kali pertama berlaku. Ia timbul juga tahun lepas semasa pertikaian untuk melantik menteri besar Selangor selepas berakhir Pilihan Raya Umum ke-13.
Malah, Azmin juga secara terbuka menyatakan rasa tidak setuju terhadap pelantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar penggal kedua.
Pertikaian tersebut berlarutan sehingga hari ini, malah secara terbuka kepimpinan PKR menyatakan penolakan kepimpinan Khalid di Selangor.
No comments: