Barisan selebriti tersebut akan menjual pelbagai produk seperti biskut raya, tudung, pakaian dan barangan pre-loved milik mereka pada acara tersebut.
Selain barisan artis, terdapat ratusan peniaga lain yang turut menjual pelbagai barangan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Karnival itu dibuka pada pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Antara selebriti yang bakal terlibat pada acara itu nanti adalah Hanis Zalikha, Hairul Azreen, Scha Al-Yahya, Awal Ashaari, Neelofa, Lisa Surihani, Yana Samsudin dan Elfira Loy.
Manakala Emma Maembong, Zara Zya, Diana Danielle dan Achey turut sama memeriahkan karnival berkenaan dengan pelbagai barangan jualan yang menarik.
Sementara itu, pelakon drama bersiri Love You Mr. Arrogant, Zara Zya memberitahu bakal menjual pelbagai jenis biskut raya seperti Almond London, Tart Gulung, Tart Buah, Tart Strawberi, Almond Cluster dan Almond Crunchy.
Selain itu kata Zara, dia juga akan menjual pelbagai jenis gaya tudung yang sesuai untuk digayakan oleh para peminatnya ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.
"Biarpun ini bukan kali pertama saya berniaga tetapi perasaan teruja itu tetap ada kerana selain dapat menjual pelbagai barangan kepada mereka saya juga berpeluang bertemu peminat secara dekat.
"Saya harap mereka akan datang beramai-ramai dan memberikan sokongan kepada semua selebriti yang turut berniaga," katanya.
Lain pula dengan pelakon dan pengacara Neelofa, dia akan membuka gerai untuk menjual kanta lekap jenama miliknya iaitu Lofa Lens.
Menggunakan tagline Make Your Eyes Pop! Neelofa bakal membariskan pelbagai warna kanta lekap khas buat para pengunjung karnival berkenaan dengan harga istimewa.
Manakala pelakon yang baharu sahaja bergelar ibu, Liyana Jasmay memberitahu akan menjual barangan peribadi seperti beg tangan dan baju miliknya.
Malah Liyana turut rancak mempromosikan karnival berkenaan kepada para peminatnya di laman sosial Instagram.
"Sila datang beramai-ramai kerana saya ada pelbagai barangan istimewa milik saya yang akan dijual pada karnival itu nanti.
"Saya harap anda akan menyukai pilihan beg tangan dan baju yang akan dijual nanti," katanya.
sumber
No comments: