» » 'Najib berhak saman Malaysiakini'


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Datuk Seri Najib Razak berhak untuk menyaman Malaysiakini jika merasakan artikel portal atas talian itu memberikan kesan tidak baik kepadanya.

Beliau turut memberi peringatan kepada orang ramai meskipun Malaysia mengamalkan dasar diplomatik dan kebebasan bersuara, amalan memperlekeh seseorang sehingga menimbulkan fitnah adalah tidak beretika dan boleh diambil tindakan.

"Maka beliau mempunyai hak berbuat demikian, apa lagi tempoh yang diberikan untuk memohon maaf tidak dihiraukan pihak berkenaan," katanya seperti dilaporkan Bernama merujuk kepada saman perdana menteri dan Umno kepada Malaysiakini.

Najib dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh memfailkan saman fitnah terhadap syarikat, ketua editor dan ketua pengarang laman web portal Malaysiakini berhubung penerbitan dua artikel bulan lalu.

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas isu ini semalam berkata, Najib mempunyai hak untuk saman tetapi beliau tidak melakukan sedemikian walaupun difitnah pelbagai pihak.

"Itu hak beliau (Najib), tetapi saya tidak akan saman. Dalam politik sama ada kita kena hentam atau kita dipuji," katanya kepada pemberita, selepas berucap dalam program Syarahan Perdana Presiden di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Selangor, semalam.

"Saya tidak ada duit hendak saman," katanya.

Shabery turut mengumumkan Malaysia bakal mempunyai perkhidmatan penyiaran Televisyen Digital Terestrial (DTT) menjelang 2016 sekali gus menjadi negara Asean yang menerajui bidang itu.

Beliau berkata, saluran TV percuma dikenali sebagai MYTV merupakan sebahagian daripada agenda transformasi kerajaan bagi keperluan sistem penyiaran pendigitalan.

"Kalau apa yang kita rancangkan ini menjadi kenyataan, Malaysia adalah antara negara Asean yang ke depan sekali dalam bidang ini.

“DTT yang berasas kepada teknologi baharu bukan sahaja merangkumi liputan menyeluruh tetapi juga dapat meningkatkan kualiti industri kandungan dengan lebih maju," katanya pada majlis pelancaran MYTV di Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara malam tadi.

DTT bakal dilaksana melalui empat fasa bermula dengan Kelantan, Terengganu dan Pahang pada Januari 2015, fasa 2 merangkumi Sabah dan Sarawak; fasa 3 bermula di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor manakala fasa terakhir meliputi Selangor, Lembah Klang, Putrajaya serta semua kawasan bandar.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .