abatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata mereka tidak mempunyai kuasa untuk meminda status agama Islam dalam kad pengenalan mana-mana warganegara yang rekodnya disahkan sebagai beragama Islam tanpa sebarang pengesahan Mahkamah Syariah.
Menurut JPN, sekiranya mana-mana individu mendakwa dirinya bukan beragama Islam tetapi rekod di jabatan itu mengesahkan beliau Islam, keputusan untuk meminda status itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
"Jabatan Pendaftaran Negara bukanlah agensi yang memutuskan seseorang itu sudah keluar daripada agama Islam," kata jabatan itu kepada Astro Awani.
JPN memberikan respon terhadap aduan lelaki yang didaftarkan dengan nama Johann Lim Noordin bin Billy Noordin yang mendakwa tidak pernah menganut agama Islam dan mahu status agama Islam pada kad pengenalannya ditukar.
Astro Awani melaporkan, lelaki itu mendakwa sudah mengemukakan permohonan kepada JPN sejak tiga tahun lalu.
"Kalau mahu saya bawa 100 saksi saya bukan Muslim, saya akan bawa. Kalau mahu saya bawa 200 saksi yang melihat saya ke tokong Buddha, saya akan bawa. Kalau mahu saya bawa 500 saksi yang nampak saya makan makanan tidak halal, saya akan bawa.
"Hakikatnya ialah saya bukan seorang Islam, tidak pernah lahir sebagai Islam atau tidak memeluk agama Islam. Saya tidak pernah menganut agama Islam," katanya dalam surat kepada JPN yang dikongsikan kepada media baru-baru ini.
Ahad lalu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu upacara perkahwinan Hindu di sebuah kuil di Petaling Jaya kerana mengesyaki pengantin perempuannya beragama Islam.
Wanita Islam itu, Zarinah Abdul Majid, 32, bagaimanapun sudah berulang-alik ke Mahkamah Syariah dan JPN untuk membuang perkataan “Islam” di kad pengenalannya kerana tidak pernah mengamalkan kepercayaan agama itu.
Zarinah berkata, beliau sudah membelanjakan beribu ringgit membayar peguam tetapi semuanya tidak berhasil sehingga menyebabkannya membuat keputusan tegas untuk berkahwin dengan lelaki dicintainya, seorang penganut Hindu di sebuah kuil.
Semalam Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Jais bersedia membantu Zarinah yang didaftarkan sebagai Islam menyelesaikan status agamanya.
Menteri besar Selangor itu berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) selepas mendengar penerangan daripada pegawai Jais.
"Dia boleh membuat pertukaran kalau dapat selesaikan nama baru yang beliau ingini.
"Jais kata ini bukan serbuan, media kata serbuan, kita (Selangor) kata ini memalukan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Shah Alam, semalam.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Jais untuk kembali kepada Al-Quran untuk mencari penyelesaian dalam kes serbuan mereka di majlis perkahwinan di kuil Hindu itu.
Dr Mahathir berkata, penyelesaian perkara itu terkandung di dalam Al-Quran dan tidakan seperti itu dilakukan berdasarkan interpretasi seseorang.
"Perkara ini timbul kerana tidak ikut ajaran Islam. Mereka ikut ajaran seseorang. Saya cadangkan mereka kembali kepada Al-Quran. Ini mereka ikut interpretasi mereka sendiri," katanya kepada pemberita ketika program Syarahan Perdana Presiden di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di Selangor semalam.
“Al-Quran nyatakan dengan jelas, kamu dengan agamamu, kami dengan agama kami," katanya.
sumber




No comments: