Pencemaran udara serta hujan yang kurang kebelakangan ini menyebabkan negara ini sekali lagi dilanda masalah jerebu.
Jurucakap Jabatan Meteorologi, Dr Hisham Mohd Anip berkata, jerebu yang berlaku sekarang tidak terlalu serius dan berpunca daripada kilang serta kenderaan.
Beliau berkata, masalah itu dijangka berterusan kerana pemantauan pihaknya mendapati tiada hujan sehingga minggu depan, kecuali di beberapa tempat.
"Kita kini berada dalam musim monsun barat-daya, situasi normal di mana negara menghadapi kekurangan hujan," katanya.
"Kebanyakan tempat di Semenanjung akan menerima hujan diantara 75 milimeter (mm) dan 150 mm bulan ini, iaitu 20 hingga 40 peratus kurang daripada biasa," katanya.
Kata Dr Hisham lagi, musim monsun barat-daya pada pertengahan bulan lepas akan berterusan hingga September dan ia memberi kesan panas, kurang hujan dan formasi awan yang kurang.
Tambahnya lagi, fenomena El-Nino pula dijangka berlaku di antara Jun dan Ogos di mana ia berterusan sekurang-kurang lima hingga enam bulan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati kerana musim panas ini boleh menyebabkan berlakunya kebakaran.
Jabatan Penyelamat dan Bomba mendedahkan di laman web mereka, sebanyak 416 kes kebakaran berlaku setakat ini.
"Bagaimanapun bilangan titik panas (berdasarkan gambaran satelit) masih rendah.
"Pada Khamis, kami menemui dua lokasi panas di semenanjung dan Sabah, manakala sembilan lagi di Sarawak," jelasnya.
Imej satelit itu juga menunjukkan dua titik panas di Sumatera dan 26 di Kalimantan, Indonesia, namun Dr Hisham berkata, ia bukan punca kepada jerebu di Malaysia.
Indek Pencemaran Udara (IPU) yang dibaca pada petang Khamis menunjukkan kebanyakan tempat berada dalam keadaan baik.
Bacaan IPU di antara 0-50 adalah baik, 51-100 sedarhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan 301 ke atas - berbahaya.
sumber
No comments: