Guru berkata, pencapaian pelajar tahun ini pada keseluruhannya akan lebih rendah berbanding tahun lalu, memandangkan lebih 420,000 pelajar tingkatan tiga tahun ini adalah kumpulan pertama yang diajar menggunakan sistem PBS.
Menerusi PBS, tidak ada peperiksaan atau kuiz diadakan sepanjang tahun persekolahan tingkatan satu dan dua.
Guru bimbang kekurangan pendedahan untuk persediaan dan mengambil peperiksaan akan menjejaskan keupayaan pelajar menduduki PT3 (Penilaian Tingkatan Tiga).
Menambahkan lagi kesukaran ialah guru hanya menerima format peperiksaan PT3 dua minggu lalu. Jadi, mereka tidak dapat menggunakan format baru itu dalam peperiksaan pertengahan tahun yang diadakan baru-baru ini untuk menyediakan pelajar mereka dengan PT3.
Bagaimana penerimaan pelajar tingkatan tiga terhadap PT3 yang baharu akan memberi kesan sejauh mana keberkesanan sistem PBS yang kontroversi itu dan perubahan yang dikatakan dalam insiatif pendidikan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, Pelan Pendidikan Malaysia 2013-2035.
“Guru berpendapat pelajar mereka tidak akan dapat melakukan yang terbaik dalam peperiksaan pertengahan tahun kerana mereka kurang terdedah kepada kaedah mengambil peperiksaan,” kata Mohd Nor Izzat Mohd Johari, guru pendidikan seni di sebuah sekolah menengah di Pahang yang juga jurucakap kumpulan pendesak guru, Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM).
SGMM mengetuai bantahan terhadap cara sistem PBS dilaksanakan hingga menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia menangguhkan pelaksanaannya dan menyelesaikan beberapa aduan yang dibangkitkan oleh guru.
Guru mengadu mereka dibebankan dengan terlalu banyak kertas kerja dan mereka bimbang pelajar tidak bermotivasi untuk melakukan yang terbaik secara akademik kerana di bawah sistem PBS, ujian dan markah tidak berpandukan kepada akademik semata-mata.
Kekurangan pengetahuan guru mengenai PT3, Nor Izzat percaya, akan menyebabkan ramai pelajar tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan kerana mereka tidak bersedia sebaiknya.
Nor Izzat berkata, Kementerian Pendidikan hanya mengeluarkan format peperiksaan PT3 pada 31 Mei, bukan 1 April seperti yang dijadualkan sebelum ini.
Katanya, tarikh asal pengeluaran format itu penting kerana guru perlu merangka soalan untuk peperiksaan pertengahan tahun – yang biasanya diadakan pada awal Mei sebelum cuti sekolah tengah tahun pada 30 Mei – berdasarkan kepada format PT3.
“Ada guru yang menunggu hingga saat akhir untuk menyediakan soalan peperiksaan pertengahan tahun kerana menunggu format baharu daripada kementerian. Mereka mahu menyediakan pelajar dengan apa itu PT3,” kata Nor Izzat.
Peperiksaan PT3 menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang digunakan sejak 1993.
Sama seperti PMR, keputusan PT3 juga akan memberi kesan kepada aliran pendidikan mengikut kelayakan pelajar apabila mereka mendaftar ke tingkatan empat.
Memandangkan PT3 dijadualkan bermula pada Julai dan berakhir pada Oktober, Nor Izzat meragui sama ada mereka akan mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persiapan PT3 sebaik sesi persekolahan bermula semula pada 16 Jun.
Penilaian untuk geografi dan kemahiran hidup bermula pada Julai dan pelajar disyaratkan menyiapkan kerja kursus atau projek.
Tarikh akhir yang tidak tetap untuk projek berkenaan di bawah sistem baru juga mengundang masalah, kata Nor Izzat.
“Pada masa dulu, lembaga peperiksaan memberi setiap sekolah tarikh akhir yang sama dan penilaian kerja kursus mengambil masa setengah tahun pertama. Kali ini, setiap sekolah diberi autonomi untuk menyiapkan kerja kursus mengikut jangka masa masing-masing,” katanya.
Beliau mendakwa, ini boleh menyebabkan pelajar memplagiat kerja rakan sebaya mereka daripada sekolah lain yang sudah menyiapkan projek masing-masing lebih awal.
Walaupun format PT3 sudah dikeluarkan, seorang guru Bahasa Inggeris di Kelantan berkata, pelajar tingkatan tiga masih belum bersedia untuk PT3 kerana sepanjang dua tahun pertama di bawah PBS, mereka tidak mengambil peperiksaan.
Di bawah PBS, pelajar dinilai serta merta selepas sesi pembelajaran disampaikan untuk mengenal pasti tahan kecekapan mereka.
Kemampuan pembelajaran mereka digred mengikut enam band daripada paling bawah (band satu) dan tertinggi (band enam).
“Jika kementerian mahu menghapuskan peperiksaan pada masa dahulu, maka mereka patut melakukannya terhadap semua peperiksaan. Kini, di penghujung tingkatan tiga, ada satu peperiksaan besar.
“Jadi guru merungut apa objektif sebenar di sebalik sistem baharu itu? Apa sebenarnya sasaran kami,” kata seorang guru yang enggan dikenali.
“Guru akan melaksanakan arahan kerajaan tetapi keputusannya mungkin tidak sama seperti apa yang kerajaan harapkan,” katanya.
Bagaimanapun, Nor Izzat berkata, beliau berpendapat PBS dan PT3 adalah sistem yang baik terutama kerana ia mengajar pelajar dengan kemahiran berfikir secara kritikal dan memastikan apa yang mereka belajar dalam kelas boleh digunakan dalam dunia sebenar.
Masalahnya ialah ia dilaksanakan secara tidak cekap sejak dimulakan pada 2011.
“Pada pendapat saya, kita perlu bermula semula dengan kumpulan tingkatan satu tahun depan dengan menggunakan PBS yang baharu. Kita juga perlu ada program perintis, kalau tidak kita tidak dapat menilai sama ada sistem itu berkesan atau tidak atau bagaimana untuk memperbaikinya,” katanya.
sumber




No comments: