Bagaimanapun, katanya, parti itu tidak menyokong undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Liang berkata, PAS dan Umno perlu menyelesaikan isu teknikal hudud yang mencetuskan krisis Perlembagaan sebelum meneruskan hasrat mereka.
"Kami bukan anti Islam tetapi harus dikaji secara teknikal sama ada dua Rang Undang-Undang (RUU) jenayah dibenarkan di bawah satu perlembagaan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menggesa MCA dan Gerakan menangguhkan rombakan Kabinet sehingga isu hudud selesai.
Ahli Parlimen Singgam Renggam itu berkata, kemungkinan ada konspirasi daripada DAP dan PAS menghalang MCA-Gerakan menyertai Kabinet dengan mengenakan tekanan berkaitan isu hudud.
Katanya, jika DAP ikhlas membantah hudud, mereka sepatutnya memutuskan perkara itu dalam mesyuarat Pakatan Rakyat.
"Kalau betul-betul DAP ikhlas dengan hudud, mereka sepatutnya putuskan hubungan dengan PAS dalam Pakatan Rakyat dan bukannya bergaduh dengan MCA-Gerakan," katanya.
Katanya, sikap DAP berdepan isu hudud terbukti semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan bulan lalu apabila menyatakan pendirian tidak menentang hudud di hadapan pengundi Melayu, namun bersikap sebaliknya apabila berhadapan pengundi Cina.
"Kit Siang berkata DAP tidak takut dengan PAS.
"Saya lihat DAP sangat takut dengan PAS, siapa yang kata hendak laksanakan hudud dan bentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen," soalnya.
Sementara itu, ditanya mengenai Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Kiong yang akan dilantik dalam Kabinet Jumaat ini, Liang bagaimanapun enggan mengesahkannya.
"Terpulang kepada perdana menteri, tetapi kita akan sokong pelantikan Mah sebagai menteri kabinet seperti yang dijanjikan," katanya.
No comments: