Cadangan Kementerian Kewangan mewujudkan Panel Pelaburan dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggunakan wang pembayar cukai membeli saham, bon, hutang dan lain-lain harta amat meragukan, kata Ahli Parlimen Kelana Jaya daripada PKR, Wong Chen .
Wong berkata, cadangan itu terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) pindaan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 yang akan dibahaskan seawal Isnin depan.
Wong berkata, jika diluluskan pada dasarnya akan mengubah LHDN kepada satu badan pelaburan seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di bawah kawalan peribadi Menteri Kewangan.
Katanya, PKR menentang RUU ini kerana melihat ia sebagai satu cubaan untuk mengambil alih kuasa pelaburan wang pembayar cukai apabila kuasa pelaburan daripada LHDN akan diambil dan diberikan kepada Panel Pelaburan di mana enam daripada tujuh ahlinya dilantik secara langsung oleh Menteri Kewangan.
"Amalan baik Pengurusan Kewangan Awam menuntut semua cukai dan pendapatan mesti diambil kira dan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan.
"Pembentukan Panel Pelaburan dalam LHDN melanggar amalan tersebut.
"Oleh itu, tindakan ini bakal melemahkan demokrasi kerana ia akan menyembunyikan wang cukai rakyat daripada penelitian Parlimen," katanya di lobi Parlimen hari ini.
Pengerusi Biro Perdagangan dan Pelaburan PKR itu berkata, percubaan pelencongan cukai ini akan menyebabkan gangguan kepada data fiskal dan juga membenarkan Menteri Kewangan meneruskan perbelanjaan luar bajet yang tidak dipantau secara langsung oleh Parlimen.
Katanya, jika Menteri Kewangan mempunyai kuasa tidak terhad mengguna dan mengalihkan cukai rakyat untuk pelaburan, penurunan perbelanjaan perkhidmatan awam seperti kesihatan dan pendidikan akan berlaku.
"Kami amat risau tentang kuasa mutlak Menteri Kewangan untuk melabur dalam apa-apa harta sahaja di bawah kawalannya.
"Bagaimana jika wang cukai kita digunakannya membeli saham untuk menyokong dan menaikkan sesebuah syarikat krooni?" soalnya.
Beliau turut meragui akauntabiliti dan ketelusan Panel Pelaburan kerana tiada klausa cadangan ketelusan dan akauntabiliti di dalam RUU tersebut seperti 1MDB yang kini ditadbir tanpa akauntabiliti dan ketelusan yang baik.
"Adakah kita mahu meletakkan wang cukai RM130 bilion setahun ke tangan Menteri Kewangan yang mengetuai Lembaga Penasihat 1MDB?
"Saya menyeru kepada semua ahli Parlimen, daripada Pakatan Rakyat, Barisan Nasional dan juga semua menteri bersatu dan menolak RUU ini.
"RUU ini bakal melemahkan sistem demokrasi kami dan merupakan satu cubaan untuk mengukuhkan kuasa Menteri Kewangan dengan memudaratkan kuasa kementerian, Parlimen dan juga rakyat," katanya.
sumber
No comments: