Jelitawan berusia 28 tahun itu berkata tarikh tersebut dipilih kerana selain jatuh pada hari lahirnya, ia juga merupakan tarikh kegemaran Rasulullah.
"Saya akan memeluk agama Islam pada 5 Ramadan, pada Khamis ini. Saya memilih tarikh hari jadi saya, hari kegemaran nabi, maka saya berharap ia menjadi hari paling bersejarah dan diingati dalam hidup saya," katanya di hadapan kira-kira 2,000 hadirin di Program Semarak Ramadan di Shah Alam, malam tadi.
Sebelum ini, Felixia mengejutkan orang ramai dengan keputusannya memakai tudung walaupun belum memeluk agama Islam.
Dalam pengakuannya secara eksklusif kepada The Malaysian Insider tahun lepas, beliau mengakui begitu tertarik dengan pemakaian berlandaskan ajaran Islam.
Anak kelahiran Ipoh selepas itu mengakui akan hasratnya memeluk Islam namun masih belum memutuskan waktu sesuai dan mahu mendalami terlebih dahulu ajaran agama.
Felixia ketika program malam tadi turut mengakui perubahan dirinya yang berhijab kini menyebabkan disisih oleh rakan-rakannya.
"Bezanya adalah kawan-kawan saya dulu kebanyakan lari menyisihkan saya. Mereka menyangka saya berhijab kerana ingin menjadi Melayu tetapi sebenarnya saya tertarik dengan Islam," katanya.
Bagaimanapun, katanya, keluarganya terutama ibunya begitu menyokong perubahan positif dirinya.
Tambahnya setelah hatinya terbuka mendalami Islam, beliau merasakan perubahan kerana meskipun ditimpa pelbagai dugaan, beliau yakin Allah akan melindunginya.
Bezanya adalah kawan-kawan saya dulu kebanyakan lari menyisihkan saya. Mereka menyangka saya berhijab kerana ingin menjadi Melayu tetapi sebenarnya saya tertarik dengan Islam. – Felixia Yeap, bekas model Playboy.
"Perbezaannya kini, saya tahu Allah berada di sisi dan saya berdoa untuk diberikan kekuatan, kelapangan dan kesabaran menempuhi dugaan," katanya.
Namun jelitawan itu enggan mendedahkan tempat yang dipilih untuk beliau melafazkan kalimah syahadah.
"Saya tidak boleh dedahkan tempat itu kerana ia peribadi. Nama Islam saya juga akan umumkan kemudian," katanya kepada The Malaysian Insider.
Mengakui begitu teruja kerana pertama kali berpeluang merasai pengalaman berpuasa, Felixia berkata dia sudah bersedia menempuhi cabaran selama 30 hari itu.
"Teruja pada masa yang sama berdebar-debar. Saya berharap mampu untuk berpuasa penuh," katanya, sambil menyifatkan ia sebuah cabaran kerana mengalami sakit gastrik, tetapi "saya belajar bagaimana untuk mengatasi hal itu".
Seperti umat Islam lain, Felixia berkata beliau sudah membeli buah kurma sebagai persediaan puasa.
"Saya sudah bersedia, cuma terdapat perkara seperti penyediaan makanan untuk bersahur dan juadah berbuka yang perlu saya uruskan kerana saya tinggal seorang," katanya.
Pada acara tersebut, Felixia turut diusik dengan soalan nakal seperti ciri-ciri lelaki idamannya untuk dijadikan bakal suami.
Felixia berkata, beliau mencari seorang lelaki beriman yang dapat membimbingnya ke syurga.
"Ciri suami saya kini perlulah beriman, yang dapat membimbing sehingga ke syurga, yang sayang saya dan Allah.
"Kerana lepas masuk Islam, saya adalah mualaf, saya perlu bimbingan maka saya perlu teman hidup yang benar kuat dalam membantu saya," katanya.
No comments: