» » 'Tidak salah BN guna sekolah untuk kempen pilihan raya'


Tiada salahnya sekolah digunakan sebagai lokasi berkempen jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) kerana ia juga merupakan aset kerajaan, kata Datuk Ahmad Maslan dalam ceramah bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, malam tadi.

Ketua penerangan Umno itu berkata, meskipun banyak pihak mengecam penggunaan sekolah sebagai tempat berkempen dalam pilihan raya, namun mereka mendapat kebenaran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan untuk mengadakan majlis itu.

“Saya timbalan menteri BN. Jadi saya tidak nampak mengapa kita tidak boleh mengadakan ceramah di sini.

"Kerana ini sekolah kerajaan,” katanya ketika berucap di hadapan 500 penduduk setempat di Sekolah Kebangsaan Kampung Selabak di Teluk Intan.

Semalam, Bernama melaporkan Ketua Bahagian Umno Teluk Intan, Datuk Saiful Bahar Mohd Arshad berkata penggunaan Sekolah Kebangsaan Selabak bagi kempen BN selari dengan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Biasanya pengurusan sekolah tidak membenarkan penganjuran aktiviti politik atau lawatan ahli politik ke sekolah atau merasmikan majlis di sekolah.

Katanya, perkara itu dirujuk kepada SPR kerana tiada tempat lain yang bersesuaian untuk mengadakan ceramah.

“Saya sudah menghantar surat kepada guru besar bagi meminta kebenaran mengadakan ceramah di sekolah dengan menyewa tapak dengan harga RM500.

“Kami juga mendapatkan permit polis untuk mengadakan ceramah,” katanya.

Di lokasi sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) dari Kelantan berkata tidak benar Malaysia mengamalkan diskriminasi kaum kerana tiada penganut Kristian yang pernah terbunuh di negara ini.

Adun Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad, berkata selagi tiada kecederaan atau mana-mana pihak terkorban dalam insiden yang tidak diingini, maka ia menunjukkan kecemerlangan pentadbiran Umno dan BN.

“Saya tidak pernah tengok orang lebam mata kerana kalimah Allah atau ada orang Kristian terbunuh atau Melayu Islam terbunuh,” katanya sewaktu berkempen di Sekolah Kebangsaan Kampung Selabak di Teluk Intan malam tadi.

“Ada sesiapa terbunuh tak? Ada sesiapa pecah hidung tak? Ada sesiapa lebam mata tak? Itu perasaan. Perasaan lain. Perasaan mana-mana ada,” katanya.

Awal bulan ini seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara yang dianjurkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendapat kecaman pelbagai kerana dua orang penceramahnya menyamar sebagai paderi dan biarawati dari Indonesia.

Hasil semakan The Malaysian Insider bersama Sidang Biskop Indonesia mengesahkan tiada maklumat penceramah bernama Insan L S Mokoginta yang mengaku bekas paderi Katolik sebelum memeluk Islam pada 1976 dalam ceramah itu.

Semakan ke atas Irena Handono, seorang lagi penceramah di majlis itu yang mendakwa bekas biarawati Katolik juga tidak benar malah dia gagal menamatkan pengajian.

Antara yang turut dicurigai dalam seminar itu adalah Prof Dr Menehim Ali yang dikhabarkan Pakar Kristologi Universiti Bandung seperti yang tertera di buku aturcara program.

Md Alwi yang juga merupakan setiausaha BN Kelantan berkata, demokrasi di Malaysia diukur apabila tiada pergaduhan antara kaum dan tiada konflik yang berlaku dalam negara.

“Tuan-tuan tengok, sejak Umno dan BN memerintah negara, Islam semakin hari semakin kukuh. Islam makin hari makin baik dan perkasa.

“Dalam waktu yang sama, orang bukan Islam juga masih hidup aman dan damai. Tak pernah terambil, terusik atau terampas hak mereka. Itu bezanya,” katanya.

Mengulas mengenai calon DAP di Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud, Md Alwi berkata sekiranya alumni UiTM itu dipilih menjadi ahli Parlimen Teluk Intan maka penduduk di kawasan itu berjaya mengundi seorang “jurubicara”.

Katanya, Dyana masih dikongkong oleh Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan tidak bebas memberikan kenyataan sendiri.

“Bila wartawan tanya, Kit Siang tak bagi bercakap, takut dia (Dyana) tersasul dan tersalah jawab,” katanya merujuk kepada satu sidang media yang diadakan DAP di Teluk Intan semalam.

Beliau berkata, DAP seharusnya memberi kebebasan kepada Dyana untuk bercakap mewakili dirinya sendiri jika mahu gadis berusia 27 tahun itu cemerlang di Parlimen.

“Itu belum masuk Parlimen. Macam mana nak duduk di Parlimen kalau orang tanya dan nak bersoal jawab? Mikrofon boleh tarik ke dalam Parlimen? Itu nak cerita beza calon kita dengan calon dia.

“Maknanya dia (Dyana) ni remote control. Semua dipegang oleh Lim. Dia hanyalah sebagai hiasan, Tahniahlah kepadanya,” katanya.

Md Alwi berkata, pengundi Melayu di kawasan itu tiada pilihan selain mengundi calon BN iaitu Datuk Mah Siew Keong walaupun parti Gerakan yang diketuainya itu lantang menentang hudud.

Katanya, DAP acapkali mengambil kesempatan terhadap Perlembagaan dengan menafikan hak istimewa orang Melayu dengan tidak mendukung undang-undang negara itu.

“Pakatan sentiasa mahu merampas hak istimewa orang Melayu. DAP tidak pernah menyokong dasar yang ada dalam Perlembagaan iaitu hak istimewa orang Melayu.

“Kedudukan raja-raja dan kelebihan kepada orang Melayu, ini semua ditentang DAP. Orang Melayu tiada pilihan lain. Walaupun calon kita daripada parti Gerakan tetapi kena ingat Datuk Seri Najib Razak dan pimpinannya adalah Umno dan BN,” katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .