Meskipun terdapat pelbagai desakan dan laungan dilakukan umum bagi menuntut perubahan dalam sistem pilihan raya disebabkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dicemari dengan penyelewengan dan salah guna, aktivis reformasi pilihan raya yakin situasi itu masih belum berubah.
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin bersama dengan bekas pengerusi badan bukan kerajaan itu, Datuk Ambiga Sreenevasan memberitahu The Malaysian Insider bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) langsung tidak mengendahkan untuk mengubah sistem pilihan raya yang dikritik hebat sejak tahun lalu.
"Daripada segi tuntutan kami, tidak ada apa yang berubah," kata Maria.
Ambiga berkata: " SPR tidak berupaya untuk berubah. Matlamat mereka bukan untuk memperbaiki atau menawarkan pilihan raya adil dan bersih. Objektif mereka adalah untuk mengekalkan kerajaan memerintah untuk terus berkuasa.
Peguam dan bekas pengerusi Majlis Peguam itu yang tegas mengkritik SPR berkata badan itu tidak mempunyai "niat ikhlas" untuk membuat perubahan seperti mana dituntut rakyat.
"Kita tidak mendapat apa-apa pencapaian hebat dan bermakna," katanya.
Maria bersetuju dan menambah pemimpin SPR sekarang hanya bertindak untuk Barisan Nasional (BN).
"Saya tidak nampak mereka bergerak ke mana-mana arah, tiada tindakan ke atas keganasan, pembelian undi dan beberapa lagi insiden PRU13 banyak memberitahu kita. Ia amat mengecewakan," tambah beliau.
"Sudah tentu terdapat sedikit perubahan dilakukan namun akhirnya menjadi tidak berguna kerana dilaksana secara tidak jujur," kata Ambiga.
Beliau menambah, isu dakwat kekal sebagai contoh: " Benar, itu yang kita inginkan namun kita tahu apa yang terjadi."
Maria pula berkata bingung mengenai penggunaan dakwat kekal kerana ia berkesan sebelum PRU13.
"Terdapat banyak aduan mengenai dakwat tersebut dan selepas itu ia berkesan pula. Kenapa SPR tidak membuat kerja dengan betul?"
Dakwat kekal yang digunakan dalam PRU13 lalu diguna pakai sebagai ciri keselamatan memastikan pengundi hanya mengundi sekali dan menunjukkan proses pengundian itu adil.
Dakwat itu sepatutnya tahan lama sehingga beberapa hari namun pengundi mendapati ia hilang selepas dicuci.
November lepas, SPR mengakui dakwat tersebut mempunyai kelemahan, senang di cuci dan mengambil masa lama untuk kering dan kerana itu ia meninggalkan kesan kepada kertas undi.
Bagaimanapun SPR menegaskan bahawa dakwat kekal akan tetap digunakan dalam setiap pilihan raya.
"Sudah tentu mereka juga memperkenalkan pengundian luar negara dan itu juga bermasalah.
"Proses pengundian tidak telus seperti mana yang kita mahu," kata Ambiga.
Pakatan Rakyat cuba membatalkan keputusan PRU13 bagi kesemua 222 kerusi Parlimen dan mendakwa ia merupakan langkah tidak pernah berlaku sebelum ini kerana beberapa alasan termasuk isu dakwat kekal dan penipuan dalam pilihan raya.
Mereka bagaimanapun gagal selepas Mahkamah Tinggi membenarkan SPR membatalkan saman itu.
Ambiga juga berkata SPR dikatakan akan membentangkan garis panduan kepada kerajaan sementara sebelum pilihan raya lepas tetapi gagal mengotakan janji.
"Ini kerana kerajaan sendiri melanggar peraturan berkaitan dengan kerajaan sementara," katanya.
Anggota SPR mendedahkan selepas pilihan raya tahun lepas Putrajaya tidak membenarkan suruhanjaya itu menyediakan panduan.
Menggambarkan PRU13 sebagai pilihan raya paling kotor dalam sejarah Malaysia, Ambiga khuatir dengan pilihan raya akan datang.
Berikutan dengan prestasi hambar SPR, Maria dan Ambiga meluahkan kebimbangan mengenai proses persempadan semula.
"Kami amat bimbang. Kami tidak mempunyai maklumat, tiada peta dan tiada apa-apa. Kami perlukan peta bagi rakyat menyatakan setuju atau tidak, " kata Maria.
Ambiga berkata SPR tidak mempunyai rancangan untuk memperbaiki diri mereka dan ini sangat membimbangkan kerana proses persempadanan semula akan berlaku tidak lama lagi.
Persempadanan semula sering dilihat sebagai alat BN untuk manipulasi pilihan raya.
"PRU14 mungkin lebih teruk dari kita lihat tahun lepas dan jika ia berterusan. Sememangnya ia sengaja untuk dijadikan lebih kotor," kata Ambiga.
Menurut Maria rakyat perlu mempunyai suara tentang bagaimana pilihan raya dijalankan.
“SPR perlu belajar bahawa penglibatan rakyat adalah penting.
No comments: