"Walaupun Suruhanjaya mengiktiraf bahawa setiap orang berhak memberi pendapat sendiri, ia kesal bahawa konsep kesejagatan hak asasi manusia sekali lagi, disalah anggap sebagai nilai 'sesat' yang terhad kepada promosi hak untuk kebebasan beragama atau kepercayaan dan juga hak kumpulan LGBT dalam konteks tuntutan hak," kata Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam.
Katanya, ini tidak benar kerana konsep kesejagatan seperti yang termaktub dalam Piagam PBB dan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), yang mana Malaysia, selaku ahli PBB yang bertanggungjawab harus menegakkannya.
Hasmy berkata, ia merangkumi nilai dan prinsip yang diterimapakai oleh keseluruhan masyarakat antarabangsa, termasuk negara-negara Islam yang juga meratifikasi atau menyertai banyak perjanjian teras hak asasi manusia, mungkin dengan beberapa reservasi yang mereka berhak untuk membuat, atau tanpa sebarang reservasi.
"Suruhanjaya juga ingin menyatakan bahawa dalam usaha untuk mematuhi prinsip dan norma sejagat ini, Malaysia telah menyertai proses Penilaian Penggalan Sejagat (UPR) dan menerima 150 daripada 232 syor yang dikemukakan oleh negara-negara anggota PBB semasa sesi UPR ke-dua baru-baru ini," kata Hasmy dalam satu kenyataan semalam.
Pada masa yang sama, tegasnya, Malaysia sedang membangunkan satu Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Nasional (NHRAP) yang dipuji oleh masyarakat antarabangsa.
"Suhakam berpendapat bahawa adalah penting bagi semua pihak berkepentingan memahami bahawa hak asasi manusia adalah hak dan kebebasan yang wujud semula jadi yang mana semua manusia berhak menuntut, tanpa mengira bangsa, agama, jantina, bahasa, dan sebarang status yang lain.
"Adalah menjadi peranan utama negara untuk memastikan bahawa hak asasi manusia dinikmati sepenuhnya oleh rakyatnya tanpa diskriminasi," tambahnya.
Suhakam, tegasnya, amat risau bahawa peningkatan salah tanggapan tentang konsep hak asasi manusia ini akan menimbulkan keraguan serius terhadap kedudukan Malaysia berkenaan dengan pematuhannya terhadap prinsip-prinsip sejagat ini.
"... di samping akan menghalang Malaysia daripada mengambil langkah yang progresif ke arah merealisasikan matlamatnya untuk menjadi sebuah negara maju menjelang akhir dekad ini, dan juga sebagai negara contoh dalam menegakkan hak asasi manusia," tegas Hasmy.
Sumber M-K
No comments: