Naib Presiden DAP, Senator Dr Ariffin S M Omar, berkata di Malaysia, kerajaan mengambil tindakan itu menerusi “pecah dan perintah” dengan mencetuskan kontroversi keagamaan.
“Bila kerajaan kehilangan kuasa, ia jadi terdesak dan memilih untuk mencipta kontroversi,” katanya dalam majlis ceramah di Island Glades, Pulau Pinang, menjelang pilihan raya kecil Bukit Gelugor.
Katanya, Malaysia kini mempunyai kerajaan ekstremis yang anti-Kristian, anti-Hindu dan anti-Buddha.
“Itu sebabnya kita lihat banyak isu timbul sejak akhir-akhir ini. Kita tidak pernah ada isu seperti itu sebelum ini.
“Isu itu ditaja oleh kerajaan yang tidak ada kemahuan untuk menghentikan keadaan yang memecahkan rakyat itu,” katanya.
Katanya, beliau belajar di sekolah mubaligh, St Xavier Institution di Pulau Pinang, selama bertahun-tahun tetapi masih kekal beragama Islam.
“Hakikatnya, saya pernah ke gereja dan saya masih kekal seorang Islam,” katanya disambut sorakan hadirin.
Ariffin berkata, kerajaan Umno Barisan Nasional memperguna dan menyalahguna Islam dan menunjukkan ia sebagai tidak bertolak ansur dan tidak fleksibel.
“Ini adalah realiti yang kita lihat sekarang. Sebuah kerajaan yang menggunakan bangsa dan agama untuk memecahkan kita,” kata pemimpin DAP itu ketika mengulas mengenai peningkatan ketegangan kaum dan agama sejak beberapa bulan lalu, yang menyebabkan ancaman pada 13 Mei dan keganasan lain.
Beliau berkata, rakyat patut bersuara menentang tindakan kerajaan, dan berdiam diri hanya akan membawa negara menjadi anarki.
Katanya, Malaysia sudah sampai ke peringkat di mana rasuah berlaku di semua tahap dalam negara.
“Malah, kita adalah salah sebuah negara yang paling rasuah dalam negara.
“Bagaimana kita boleh menyokong kerajaan yang menipu kita,” katanya, merujuk kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada April depan.
“Mereka sudah habis cara untuk merampas daripada kita. Dan itu sebabnya mereka memperkenalkan GST. Siapa yang dapat faedah? Sebuah kerajaan rasuah dan teruk,” katanya.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang turut menyampaikan ceramah malam tadi, berkata ketika Putrajaya berkata ia akan menurunkan defisit negara dengan mengurangkan perbelanjaan, ramai yang memuji langkah itu.
“Tetapi cara yang mereka buat ialah bukan membaiki ketirisan tetapi dengan mengurangkan subsidi. Itu maknanya harga gula, tepung dan yang lain akan naik.
“Jadi, siapa yang tanggung kosnya? Rakyat. Mereka dapat mengurangkan subsidi sementara mengekalkan rasuah,” katanya.
Khalid berkata, langkah kedua Putrajaya ialah mengumumkan peningkatan hasil, yang mereka perolehi daripada peningkatan cukai.
“Dan rasuah berterusan,” kata pemimpin PAS itu dan berkata Umno merosakkan orang Melayu, menjadikan mereka “samseng” apabila tidak ada cara lain untuk mempertahankan diri mereka.
“Orang Melayu jadi samseng di bawah Umno. Jadi kita perlu menyelamatkan negara. Bagi saya, saya mahu menyelamatkan Melayu daripada Umno,” katanya.
Khalid juga menyeru rakyat membuktikan kepada BN agenda mengubah dunia akan berterusan dengan mengundi calon DAP bagi Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.
“Sudah pasti, dia akan menang tetapi kita mahu memastikan tiga lagi calon hilang deposit mereka.
“Umno BN boleh lihat trend sekarang iaitu semakin ramai rakyat menolak mereka dan kita perlu meneruskan trend itu,” katanya.
Penceramah lain pada majlis malam tadi ialah Ramkarpal, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, RSN Rayer; Adun Sungai Puyu, Phee Boon Poh; Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiaat dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Ramkarpal berdepan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan dan dua calon bebas iaitu Abu Backer Sidek Mohamad Zan dan Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada 25 Mei.
Kerusi Bukit Gelugor kosong selepas kematian penyandangnya, Karpal Singh dalam nahas jalan raya pada 17 April.
sumber
No comments: