Pengerusi DAP Johor itu berkata, PRK Teluk Intan dilihat sebagai pertandingan paling sengit yang bakal dihadapi DAP namun sekiranya Pakatan Rakyat (PR) melakarkan kejayaan ia dapat memberikan impak ke atas situasi politik dan polisi ekonomi BN.
"Sekiranya DAP menang, maka BN terpaksa merombak pelbagai isu termasuk pelaksanaan GST, tetapi jika kita kalah, kesannya adalah sangat besar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi penduduk Melayu yang tinggal di kawasan separuh bandar di Teluk Intan, kebanyakannya berpendapatan rendah dan akan terkesan dengan kenaikan harga minyak, elektrik dan pelaksanaan GST selain masalah kekurangan kerja di kalangan belia.
"Saya dapat meramalkan kemenangan Pakatan bermaksud Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa memikirkan dua kali berkenaan polisi ekonomi.
"Saya tidak akan terkejut sekiranya pelaksanaan GST akan dimansuhkan atau tidak dilakukan sekiranya Dyana menang di PRK," katanya.
Sehubungan itu, katanya, PRK Teluk Intan ini dilihat begitu penting apabila kemenangan PR akan menghantar satu lagi gelombang kepada kerusi separa bandar BN di selatan Kedah dan Perak serta utara Selangor dan Johor yang mempunyai persamaan dalam corak pengundi.
"PRK Teluk Intan merupakan petunjuk penting negara bagi Pilihan Raya Umum ke-14 dan referendum GST di mana ia perlu diberi perhatian oleh rakyat Malaysia," katanya.
Selain itu, beliau merujuk ketika PRU13, menyaksikan berlakunya tsunami pengundi bandar yang memberi sokongan kepada PR, namun situasi itu tidak berlaku di kawasan luar bandar.
Maka, katanya, calon DAP itu mampu meningkatkan undi di kalangan belia Melayu tanpa menghilangkan sokongan bukan Melayu.
"Dyana Sofya mampu menarik pengundi tambahan iaitu pengundi remaja Melayu termasuk mendapat sokongan bukan Melayu.
"Ini dapat memberikan ancaman dalam sebahagian kelompok kecil kerusi Barisan Nasional (BN) di selatan Perak," katanya.
Beliau berkata, DAP khuatir terhadap kemungkinan kekalahan dalam PRK Kajang yang berlaku.
"Dyana melawan calon yang amat kuat, iaitu presiden dalam komponen BN dengan situasi parti itu yang dipenuhi dengan wang dan jentera kerajaan.
"Kita bagaimanapun tetap teruja kerana ia adalah peluang melihat satu lagi masa depan Malaysia," katanya.
No comments: