Kebanyakan hakim Malaysia gagal dalam mengiktiraf Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di negara ini dan menyebabkan perbahasaan tentang undang-undang awam mati, sebuah forum tentang kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia diberitahu malam tadi.
Peguam kanan Tommy Thomas berkata, hakim dalam kategori ini sejak beberapa tahun tidak mengambil berat mengenai ketinggian perlembagaan.
"Ia tidak banyak berubah sekarang dan saya akan kalah dalam kes perlembagaan di depan mereka," katanya dalam diskusi panel di forum 'Kedaulatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia di Malaysia' yang dianjurkan bersama oleh Majlis Peguam Malaysia dan sebuah badan United Kingdom, Bingham Centre fo The Rule of Law.
Thomas yang menjadi peguam sejak 1976 juga membangkitkan kesukaran peguam untuk mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi bagi mencabar keputusan sebelah pihak yang dibuat oleh pihak berkuasa.
“Peguam negara, yang menjaga kepentingan awam, datang ke mahkamah untuk membantah permohonan permohonan,” katanya.
Thomas berkata, peguam boleh berhujah dengan bijak menerusi kes dan prinsip guaman mengenai undang-undang perlembagaan dan pentadbiran di depan hakim tetapi sukar untuk memikat mereka.
“Jadi undang-undang awam di negara ini berada dalam keadaan yang menyedihkan dan undang-undang perlembagaan terutamanya, benar-benar mati,” katanya.
Beliau berkata, hanya ada sedikit kumpulan peguam yang masih kekal dalam undang-undang berkenaan.
Thomas yang sering dilihat di bilik mahkamah di Putrajaya, berkata pemerhatiannya mendapati hanya hakim di Mahkamah Persekutuan mendominasi prosiding walaupun rayuan didengar di depan panel lima hakim.
“Empat hakim lagi yang berada di kiri dan kanan pengerusi biasanya senyap dan tidak banyak menyumbang ketika prosiding,” katanya.
Thomas berkata, itu sebabnya beliau tidak melihat sebarang merit mempunyai panel ramai hakim untuk mendengar kes biasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada peserta sama ada korum penuh patut mendengar kes yang mendapat perhatian umum.
Kepada soalan lain, Thomas berkata, beliau juga membuat aduan kepada Majlis Peguam mengenai beberapa ahli yang memperdaya mahkamah kerana mereka mahu menang dengan apa cara sekali pun.
Beliau berkata, hakim pada zaman sebelum ini peka tetapi kini kejadian memperdaya mahkamah berlaku kerana panel hakim lemah.
“Tetapi sudah tentu kedua-dua pihak peguam dan hakim patut disalahkan atas apa yang berlaku sekarang,” katanya menjawab komen peguam kanan P S Ranjan yang mendakwa setiap ketidakadilan yang berlaku di mahkamah, peguam turut bertanggungjawab.
Ranjan, yang mahir dalam kes kecuaian perubatan, berkata pernah berlaku seorang hakim mengugut untuk menolak permohonannya jika beliau mahu terus memfailkannya, sementara lawannya, seorang pegawai mahkamah, hanya senyap.
Seorang lagi peguam, Malik Imtiaz Sarwar, berkata badan kehakiman kini tidak mempunyai ahli yang prolifik dalam barisan panel, tidak seperti tahun-tahun terdahulu.
“Kesannya ialah, dalam sekelip mata, kita hilang peraturan undang-undang. Sekarang kita terfikir-fikir sama ada hakim-hakim ini tahu apa yang mereka buat,” katanya.
Beliau juga membangkitkan isu sesetengah hakim yang juga berada dalam panel hakim mahkamah Syariah membuat keputusan mengenai isu Islamik.
“Hakim yang sama juga berada dalam mahkamah sivil dan mereka marah peguam yang membangkitkan perkara itu jika mereka cuba menyingkirkan hakim berkenaan daripada mendengar kes,” katanya.
Katanya, komposisi dalam kehakiman juga bukan lagi mengenai kaum dan agama tetapi mengenai kecekapan hakim.
Malik berkata, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang ditubuhkan pada 2009 tidak telus “kerana kami tidak tahu apa yang mereka buat di sebaliknya”.
Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memberi keterangan ketika Suruhanjaya Siasatan Diraja dalam kes membabitkan V K Lingam mengenai penetapan kehakiman, ada memberi sedikit maklumat mengenai bagaimana hakim pada zaman pemerintahannya dipilih.
“Dr Mahathir beritahu prosiding beliau ada bercakap kepada orang yang ditemuinya untuk bertanya siapa yang boleh dilantik menjadi hakim,” katanya.
Profesor Madya Azmi Sharom, yang juga ahli dalam panel perbincangan itu berkata, peraturan undang-undang juga bermakna ia perlu dihormati dan dilindungi.
“Tetapi dalam negara ini, kita gagal melakukan kedua-duanya,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia hanya penandatangan kepada perjanjian antarabangsa perlindungan wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya tetapi bukan kepada persetujuan mengenai bukan seksaan.
“Namun, kia adalah negara yang masih menggunakan prinsip undang-undang statut dan oleh itu terikat dengan undang-undang adat antarabangsa.
“Jadi kita tidak boleh membenarkan hukuman seperti menyebat dan pemotongan (amputasi),” katanya dengan jelas merujuk kepada hukuman yang diperuntukkan mengikut kanun keseksaan Islam yang Kelantan harap untuk melaksanakannya di bawah hudud.
sumber
No comments: