Umno 'pondan' sekiranya tidak membantu PAS dalam membentangkan rang undang-undang pelaksanaan hudud di Parlimen, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Beliau berkata inilah masa bagi Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan keikhlasan dengan membentangkan rang-rang undang Islam itu dilaksanakan di Kelantan.
"Apa kemahuan dan keberanian Umno, dia kerajaan, sekarang ini kalau dia bukan 'pondan', dia bawalah rang undang-undang hudud ke Parlimen.
"Ia tidak harus dibentangkan secara pensendirian, Umno dan Barisan Nasional (BN) kena pastikan ahli Parlimen mereka hadir untuk mengundi rang undang-undang tersebut," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur hari ini.
Tambahnya, keikhlasan Umno menyokong pelaksanaan hudud dapat dibuktikan dengan menjadikannya usul yang datang dari pihak kerajaan.
"Biasanya di Parlimen, Speaker akan mendahulukan rang undang-undang kerajaan, menyebabkan kita khuatir tidak ada ruang pensendirian.
"Sekiranya Umno yang membawa rang undang-undang hudud, maka ia akan menjadi urusan kerajaan yang perlu dibentangkan segera," katanya.
Ditanya mengenai penentangan keras DAP, Mahfuz menjelaskan pembentangan rang undang- undang Islam tersebut dibuat secara persendirian tanpa mewakili mana-mana pendirian parti Pakatan Rakyat (PR) yang lain.
Katanya, PAS menggunakan ruang demokratik dengan membentangkan rang-rang undang di Parlimen dan meminta semua pihak menghormati proses tersebut.
"Pembentangan pelaksanaan hudud adalah melalui proses demokrasi. Siapa yang tidak bersetuju, mereka boleh mengundi untuk menolak," katanya.
Mahfuz berkata tidak ada paksaan di pihak PAS agar pihak lain bersetuju dengan pelaksanaan hukum tersebut memandangkan parti itu sudah diberikan ruang demokrasi sepenuhnya.
"PAS terima keputusan, namun apa yang penting, apabila parti ini diberi ruang, apabila segala sekatan dan halangan dapat dibawa secara adil untuk pertimbangan, ia tidak melanggar demokrasi dan Perlembagaan," tambah Mahfuz.
Beliau turut menyelar kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahad lalu yang meminta PAS memberi kerjasama menerangkan mengenai hudud.
Katanya, ia jelas membuktikan bahawa sebelum ini, Umno tidak pernah melaksanakan penerangan hudud kepada orang ramai.
"Kerana itu kita minta kerajaan Umno jujur dengan memberi ruang dan peluang kepada PAS mendapat liputan daripada media arus perdana menerangkan mengenai hudud boleh ada perdebatan dengan menjemput ulama PAS," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahfuz menolak spekulasi penyertaan berkurangan kaum Cina semasa demonstrasi Bantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) semalam kerana tidak menyokong pelaksanaan hudud PAS.
"Demonstrasi semalam tidak ada kaitan dengan kaum, siapa paling ramai atau tidak, atau tidak bersetuju dengan hudud sekalipun.
"Bagi saya, kehadiran kaum bukan merupakan satu isu, demostrasi semalam cukup berjaya apabila rakyat kini bebas untuk bersuara tanpa ada sebarang provokasi daripada pihak berkuasa," katanya.
Sumber T-M-I
No comments: