» » Dyana Sofya Part 2 : 'Saya Masih Single'


Walaupun negara sedang melalui proses dua pilihan raya kecil (PRK) ketika ini, tetapi senario di Teluk Intan dilihat berbeza gara-gara kehadiran Dyana Sofya Mohd Daud. Ikuti siri terakhir temubual mStar Online bersama calon PRK Teluk Intan ini yang menyentuh sisi peribadi anak perempuan tunggal pasangan Mohd Daud Ismail dan Yammy Samat.


mStar: Soalan yang ramai pihak ingin tahu, adakah anda masih 'single'?

Dyana: (Hanya mengangguk bagi mengakui kenyataan itu)

mStar: Atau sedang mengenali seseorang?

Dyana: Saya tidak akan beritahu. Dengan siapa saya 'dating', sama ada saya ada 'dating' atau tidak... saya tidak perlu beritahu.

mStar: Kalau anda kata anda 'single' tetapi tak jawab sama ada anda sedang mengenali seseorang atau tidak, bagaimana kalau ada pihak yang mendedahkan status hubungan anda nanti?

Dyana: Tunggu bila perkara (pendedahan) itu berlaku dahulu (untuk memberikan komen).

mStar: Bagaimana pula anda melihat diri sendiri secara peribadi?

Dyana: Apa yang anda lihat itulah saya. Saya seorang yang begitu komited dengan kerja dan berusaha untuk mencapai sesuatu dalam hidup dengan bersungguh-sungguh. Mengenai sisi saya lain, saya seorang yang 'hantu coklat'. Saya suka makan coklat terutama bila saya tidak berkesempatan untuk makan hidangan lengkap. Lebih-lebih lagi semasa berkempen ketika ini, satu tempoh yang agak sukar. Jadi, saya akan pastikan coklat dibawa ke mana-mana. Oh, saya tidak sukakan makanan segera. Jika bercakap tentang masakan, kesukaan saya sudah tentu gulai lemak pucuk ubi dan sambal tumis.

mStar: Bagaimana pula kehidupan peribadi anda yang bersifat 'girly' (keperempuanan)?

Dyana: (Ketawa) Sudah tentu saya suka membeli-belah terutama secara online. Saya rasa semua (gadis) mempunyai 'masalah' itu.

mStar: Kongsikan bagaimana cara anda merehatkan diri?

Dyana: Saya membaca buku terutama mengenai sejarah Malaysia. Dua buku yang dibaca ketika ini adalah Machiavelli: The Prince dan The Reluctant Politician oleh Ooi Kee Beng. Saya bawanya di dalam beg tangan saya dan akan dibaca jika ada kesempatan. Saya juga suka melakukan senaman di gim dan jika ada kesempatan saya akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya dua jam. Ada juga melakukan rawatan di spa sekali-sekala. Saya juga mengamalkan sukan Muay Thai sejak Februari lalu. Saya masih di peringkat 'beginner'.

mStar: Apakah cita-cita anda sekiranya tidak terlibat dalam bidang perundangan dan politik?

Dyana: Saya mahu terlibat dalam latihan pembangunan kerana saya boleh bekerja dengan orang ramai untuk membantu mereka membuat perubahan di dunia.

mStar: Sebagai anak muda, apa pula citarasa anda dalam berpakaian?

Dyana: Saya pakai sesuatu yang buat saya selesa dan bergantung kepada mood. Saya boleh memilih fesyen 'urban chic' sehingga hanya berkemeja-T dan berseluar jeans. Saya juga suka pakai baju kurung kain songket. Saya ada banyak koleksi baju kurung kain songket di rumah.

mStar: Komen anda apabila rakyat lebih melihat rupa paras anda berbanding dengan apa yang mahu disuarakan?

Dyana: Saya menghargai pujian itu tetapi saya pasti mereka bijak untuk mendengar apa yang ingin saya katakan.

mStar: Menyentuh sedikit mengenai politik, siapa ikon politik anda?

Dyana: Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kerana beliau memperjuangkan apa yang beliau percaya dan menjadikannya kenyataan. Beliau juga Bapa Kemerdekaan. Tiada sebab untuk tidak menyanjungi orang seperti Tunku Abdul Rahman.

mStar: Jika ditanya mengenai selebiriti yang diminati pula apa jawapan anda?

Dyana: Tan Sri P. Ramlee. Juga Katy Perry, tetapi bukan sebab lagunya tetapi saya pernah petik lirik lagunya untuk kenyataan saya. Saya tidak pandai menyanyi, kata ibu.

mStar: Memandangkan anda masih baharu (dalam politik), adakah rasa tertekan dan takut untuk berdepan media?

Dyana: Sudah tentu ada rasa takut. Saya tidak menafikan saya ada rasa sedikit tertekan, tetapi saya tahu kini berada dalam keadaan terurus. Saya tahu senior akan bantu saya dan pada masa sama saya bersedia berhadapan keadaan ini, bukan sahaja sebagai calon tetapi juga ahli politik. Ada masanya keadaan begitu 'panas' tetapi saya masih belajar bagaimana menangani keadaan itu.

mStar: Adakah anda pernah membuat kesilapan sewaktu berhadapan dengan orang lain?

Dyana: Sudah tentu. Ia merupakan proses pembelajaran. Saya pernah menggunakan kata-kata yang mungkin agak keras. Itu biasalah, dalam kehidupan seharian pun ada berhadapan dengan perkara sama.

mStar: Tetapi terdapat stigma bahawa kesilapan anda akan diperhatikan apabila anda berada di dalam DAP. Bagaimana anda menangani keadaan itu?

Dyana: Saya seorang yang sentiasa bekerja setiap pagi dan malam untuk mengadakan perbincangan. Ia merupakan persediaan untuk semua dan bukannya saya seorang. Ada perkara yang perlu diselesaikan, dasar yang perlu diberi perhatian dan pandangan terhadap sesuatu isu. Akhirnya, ia lebih kepada persediaan dan perlu untuk bersedia menanganinya.

mStar: Bagaimana anda melihat diri anda 10 tahun akan datang?

Dyana: Saya mahu menjadi ahli parlimen yang memperjuangkan nasib rakyat, yakin dengan pendirian dan kepercayaan yang kuat. Saya harap dapat berkhidmat untuk rakyat dan membuat perubahan di Malaysia, selain membantu negara mencapai hasrat atau matlamatnya.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .