Dr Mahathir, dalam tulisan terbaru di blognya yang bertajuk "Mereka yang berkuasa", mengingatkan pemimpin supaya tidak bergantung kepada penasihat mereka semata-mata kerana dikhuatiri penasihat itu boleh menggunakan pengaruh mereka untuk mendapat keuntungan peribadi.
Bekas perdana menteri berkata beliau lebih suka mendengar pandangan pihak ketiga yang tidak berkepentingan dalam politik dan pentadbiran.
Dr Mahathir juga mengakui ketika menjadi perdana menteri dahulu, jarang terdengar teguran melainkan oleh musuh terutama parti lawan.
"Dan teguran oleh musuh jarang dapat diterima kerana ini memang sifat mereka (menentang kerajaan)," tegasnya.
"Saya dapati teguran pihak ketiga, pihak yang tidak punyai kepentingan biasanya lebih ikhlas dan perlu ditimbang secara serius," katanya.
Tambahnya, tidak ramai orang yang ingin menasihati pihak berkuasa kerana takut dimarahi atau dipandang serong.
Sambil memetik pepatah Inggeris "Power corrupts and absolute power corrupts absolutely”, beliau berkata negara yang terkenal dengan bangsa yang korup tidak mungkin maju, bahkan akan runtuh.
Dr Mahathir berkata, tanpa teguran yang berani oleh rakyat, "maka akan lebih buruklah prestasi pihak berkuasa. Kemarahan orang akan meningkat menjadi kebencian".
"Kita lihat dalam sejarah raja dan orang kuat pun akhirnya dihadapkan dengan tindakan keras dan ganas oleh rakyat untuk menjatuhkan mereka.
"Inilah yang berlaku kepada beberapa raja dan diktator di Timur Tengah.
"Rakyat Malaysia belum tahu cara yang ganas. Mereka mungkin mengguna pilihanraya untuk memperbetulkan keadaan.
"Tetapi janganlah kita terlalu yakin yang mereka terus berlembut," tambahnya.
No comments: