Siasatan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 oleh Pasukan Penyiasat Antarabangsa tidak termasuk aspek jenayah kerana ia di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar).
Beliau berkata tujuan utama pasukan itu ialah untuk menilai, menyiasat dan menentukan punca sebenar insiden itu agar insiden yang sama tidak berulang pada masa depan.
Katanya siasatan akan dijalankan mengikut Peraturan Penerbangan Awam 1966 dan standard yang ditetapkan mengikut Lampiran 13-Siasatan Insiden dan Kemalangan Pesawat, Konvensyen Chicago, yang memerlukan setiap pihak menyiasat kemalangan udara secara bebas dengan kuasa penuh di negara masing-masing.
"Biro Siasatan Kemalangan yang diwujudkan sejak Disember 2011 di bawah Kementerian Pengangkutan akan bertindak sebagai sekretariat bagi pasukan siasatan ini," katanya dalam taklimat media berhubung perkembangan MH370 yang memasuki hari ke-47 hari ini.
Katanya Kabinet membincangkan dan meluluskan pelantikan sebuah pasukan penyiasatan antarabangsa untuk menyiasat kehilangan pesawat itu dan Kementerian Pengangkutan diberi tanggungjawab untuk membuat draf terma rujukan kepada pasukan itu.
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 12.41 tengah malam 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL, ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Operasi melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mencari pesawat Boeing 777-200ER itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila didapati ia menukar laluan.
Analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".
Mengulas perkara itu, Hishammuddin yang juga menteri pertahanan berkata pasukan penyiasat itu akan merangkumi tiga kumpulan iaitu kumpulan kelayakan terbang, untuk meneliti isu seperti rekod penyelenggaraan, struktur dan sistem pesawat.
"Pasukan itu juga termasuk satu kumpulan operasi yang akan meneliti rakaman penerbangan, operasi dan meteorologi semasa insiden itu.
"Ketiga ialah kumpulan perubatan dan faktor manusia yang bertujuan untuk menyiasat isu-isu seperti psikologi, patologi dan faktor survival penumpang dan anak kapal," katanya.
Selain itu, Hishammuddin berkata Malaysia juga membincangkan untuk melantik pakar-pakar dari negara-negara Asean lain mengikut blok Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung Kerjasama Berkaitan Siasatan Insiden dan Kemalangan Pesawat yang ditandatangani pada 2008.
"Kami sedang dalam proses mengenal pasti anggota dan wakil yang mendapat pengiktirafan dan akan mengambil anggota bagi pasukan itu mengikut standard antarabangsa. Kami akan mengumumkan nama anggota-anggota itu minggu depan," katanya.
Semasa ditanya berhubung jenis kepakaran yang sedang dicari Malaysia daripada rakan mereka di Asean, Hishammuddin berkata:" Satu contoh ialah..kami cuba berunding dengan Singapura daripada pengalaman Silk Air.
"...dan ia satu pendekatan yang saya rasa menjadikan panel itu lebih dipercayai, lebih telus dan lebih berkesan," katanya.
Hishammuddin menegaskan ia adalah penting bagi kerajaan untuk membentuk sebuah pasukan penyiasat bebas yang bukan sahaja kompeten dan telus tetapi juga amat dipercayai.
"Seperti yang saya sebut secara konsisten sejak awal, kami tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan," katanya.
Berhubung kandungan MoU dengan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), Hishammuddin berkata ia benar-benar berhubung dengan garis masa, penyusunan semula serta menstrategikan semula operasi pencarian di selatan Lautan Hindi.
"Ia tidak bercakap sama sekali berhubung menghentikan pencarian. Namun memberi tumpuan, sebagai contoh, permukaan visual udara, sama ada ia masih relevan apabila berkaitan dengan serpihan atau pencarian dalam air," katanya.
Sumber T-M-I
No comments: