Usul bagi membincangkan salah laku hakim yang menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan besar tidak akan dibincangkan pada hari ini setelah ia diletak paling akhir dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali (gambar) menghantar usul berkenaan ke pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 26 Mac lalu dan ia seharusnya dibincangkan pada hari ini setelah 14 hari daripada tarikh usul dihantar.
Usul yang mendapat sokongan daripada 63 ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) itu dibuat mengikut Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Parlimen membincangkan kelakuan hakim.
“Bahawa Dewan ini mengambil perhatian mengenai kelakuan hakim-hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Aziah Ali, Datuk Balia Yusuf Wahi dan Datuk Mohd Zawawi Salleh dalam mensabitkan Anwar pada 7 Mac 2014 serta menjatuhkan hukuman 5 tahun.
“Berdasarkan fakta di atas, Dewan ini mendapati hakim tersebut tidak membuat keputusan bedasarkan fakta kes dan keadilan, tetapi secara berat sebelah untuk sebab tersirat dan prasangka terhadap Anwar di mana ini dengan jelas melanggar Seksyen 7(3) dan Seksyen 8(7) Kod Etika Hakim 2009.
“Atas sebab ini Dewan ini mengecam tindakan dan kelakuan hakim Mahkamah Rayuan tersebut dan menyeru supaya tindakan sewajarnya diambil ke atas mereka di bawah Kod Etika Hakim 2009,” menurut usul yang tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli (gambar) menjangkakan usul berkenaan tidak akan menjadi keutamaan dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini dan berpendapat usul kerajaan yang akan diberi lebih perhatian oleh Yang Dipertua.
Katanya, dengan usul yang dikemukakan itu akan memberi satu peringatan kepada hakim bahawa tindak tanduk mereka diperhatikan rakyat.
“PR akan menggunakan sepenuh peruntukan Perlembagaan untuk menegur kelakuan hakim yang dilihat mencemar kredibiliti dan kebebasan institusi kehakiman,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa berkata usul yang dikemukakan esok merupakan usul kedua yang pernah dibawa ke Parlimen setelah yang pertama dibawa oleh Karpal Singh.
Katanya, usul pertama pada 2008, Karpal mengambil inisiatif mengkritik bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi semasa menjadi peguam mengaku memberi rasuah kepada pegawai mahkamah.
Anwar awal bulan lalu dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun oleh tiga hakim Mahkamah Rayuan kerana meliwat pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.
Hukuman itu dipercayai bagi menghalang Anwar untuk bertanding sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang yang akan berlangsung pada bulan sama.
Namun ia dikatakan berlaku dalam suasana yang sangat mencurigakan sehingga membawa kepada usul hari ini.
Sumber T-M-I
PKR hendaklah lantik hakim sendiri dan minta hakim itu bebaskan Anwar. Itu baru betul dan telus. Keadilan pun tercapai tanpa ada penangguhan yang dilakukan oleh siapa ha.
ReplyDelete