» » PTPTN senarai hitam, jika tidak bayar 20 bulan


Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menyenarai hitamkan nama peminjam sekiranya tiada bayaran yang diterima dalam tempoh 20 bulan.

Ketua Eksekutifnya, Agos Cholan (gambar) berkata PTPTN tidak mengambil tempoh singkat untuk menyenaraikan seseorang peminjam sekaligus dihalang ke luar negara sebaliknya memberi tempoh yang mencukupi.

"Bagi peminjam yang kita senarai hitamkan biasanya mengambil masa selama 20 bulan baru‎ kita senarai hitamkan. Kita mengambil langkah mesra bukan tak bayar sebulan terus senarai hitam.

"Mulanya peringatan, tiga bulan selepas itu notis pertama, notis kedua dan notis ketiga setiap tiga bulan kemudian baru surat tunjuk sebab. Tak bayar juga baru kita masukkan dalam senarai hitam‎," katanya dalam satu sidang media bersempena majlis pelancaran Sahabat PTPTN di KLCC hari ini.

Setakat ini, seramai 130,000 peminjam disenarai hitamkan namun seramai 45,000 tampil untuk berunding dengan PTPTN agar nama mereka dikeluarkan daripada senarai itu.

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang turut hadir dalam sidang media itu berkata, sekatan imigresen adalah langkah paling akhir digunakan setelah beberapa pendekatan sebelumnya gagal.

Katanya, PTPTN tidak seharusnya dilihat sebagai sebuah agensi mengutip hutang sebaliknya satu peluang pembiayaan pendidikan kepada rakyat.

“PTPTN menggunakan pendekatan mesra pelanggan.Kita tidak membuat hukuman kepada penerima deposit kita. Sekatan imigresen itu sebenarnya yang terakhir kita buat setelah mengambil beberapa pendekatan.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dalam ucaptamanya menyebut PTPTN berjaya meningkatkan hasil kutipan tahun demi tahun setelah pada 2013 sejumlah RM1.2 bilion berjaya dikutip berbanding RM800 juta pada 2012 dan RM730 juta pada 2011.

Agos berkata sehingga Mac tahun ini, seramai 425,000 peminjam masih belum membuat pembayaran dengan jumlah tunggakan hampir RM3.5 bilion.

Katanya, tunggakan yang ditanggung PTPTN sentiasa dilihat serius dan pelbagai langkah diambil bagi memastikan kutipan perbadanan itu terus meningkat.

“Kami mensasarkan peningkatan kutipan 5% tahun ini berbanding tahun lepas. Kami berharap peminjam yang membuat pemotongan gaji meningkat daripada 12% menjadi 23%,” katanya.

Agos berkata kepada peminjam tegar yang masih enggan menjelaskan hutang mereka, kos pentadbiran akan berjalan terus sebanyak 1% setahun.

Katanya, peminjam yang berdepan masalah pembiayaan semula tidak perlu takut untuk berunding dengan PTPTN kerana penstrukturan semula bayaran boleh dibuat.

“Kos pentadbiran 1% akan berjalan tetapi kami ingin menyeru kepada semua peminjam tegar supaya datang berbincang. Kami bersedia membuat penstrukturan semula sekiranya mereka menghadapi masalah kewangan.

“Kita bukan suruh mereka bayar jumlah keseluruhan yang tertunggak tetapi bayar berapa yang mampu atau kita buat perjanjian baru. Pinjaman boleh dibayar sehingga berumur 60 tahun. Kita bagi peluang mereka bayar. Kami ni bukan ah long,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata pada tahun ini sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi membayar faedah pinjaman PTPTN yang dipinjam daripada pelbagai institusi kewangan.

Katanya, terdapat tiga cara bagi PTPTN mendapatkan sumber kewangan iaitu dari geran yang diberi kerajaan semasa penubuhan dahulu, bayaran balik graduan yang meminjam dan pinjaman baru daripada pelbagai institusi bank.

“Kerajaan membayar RM13 bilion sejak penubuhan. Ini satu perkara yang sangat besar iaitu peranan kerajaan bukan hanya melepaskan geran tetapi juga kita bayar faedah itu.

“Sebab itulah faedah (PTPTN) sangat rendah dikenakan kepada peminjam sebab faedah selebihnya itu dibayar kerajaan,” katanya.

Shamsul berkata kadar faedah PTPTN serendah 1% yang dikenakan kerajaan sebenarnya selebihnya adalah ditanggung kerajaan iaitu sebanyak 4%.

“1% itu amat rendah kerana PTPTN pinjam daripada bank dijamin kerajaan. Kalau bank kenakan faedah 5%, kerajaan tanggung 4%. 1% oleh pelajar. Itu pun sebenarnya pelajar boleh mendapat insentif lain jika dibayar secara konsisten selama setahun.

“Jika pelajar membayar seperti yang jadual ditetapkan, mereka tidak bayar lebih daripada 1%. Mereka yang mendapat kelas pertama, tidak perlu membayar semula,” katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .