Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar) berkata semalam, Petronas tidak keberatan mendapatkan aset baru bagi operasi mencari pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, yang memasuki hari ke-47, dan syarikat minyak dan gas itu tidakpun membincangkan soal wang.
Bercakap pada sidang media untuk memberi maklumat terbaru mengenai operasi mencari itu, Hishammuddin berkata beliau telah berbincang dengan Petronas awal semalam berhubung penglibatan badan komersial dalam operasi mencari.
"Dalam beberapa hari lagi, kami akan berunding dengan beberapa pihak lain untuk melihat kemungkinan menambah aset yang boleh dibekalkan untuk pencarian di laut dalam," tambahnya
Beliau mengambil perhatian ketika operasi mencari memasuki fasa berikutnya, negara yang tidak dapat turut serta sebelum ini, kini tampil untuk memberi bantuan kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
"Ini memerlukan aset laut dalam, mungkin Bluefin-21, lebih banyak kenderaan selam yang agak mahal.
"Namun saya berterima kasih kerana banyak pihak di luar sana berminat menyertai operasi," kata beliau.
Mengenai rancangan untuk menyusun semula kumpulan dan strategi operasi mencari, Hishammuddin menyatakan tindakan itu tidak akan dilakukan segera dan masih terdapat 20% kawasan pencarian yang belum diliputi oleh Bluefin-21.
Beliau berkata rancangan itu akan dibincangkan dengan Angus Houston, Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC).
Ditanya sama ada pelantikan Pasukan Penyiasat Antarabangsa, yang diluluskan oleh Kabinet akan melambatkan siasatan awal, Hishammuddin menjawab:
"Tidak. Inilah peluang bagi semua pakar yang berhimpun untuk melihat apa yang kita lalui dan bagaimana kaitannya dengan landskap penerbangan pada masa depan."
Menurut menteri itu, apa jua siasatan yang dibuat sebelum ini akan dilaporkan kepada pasukan pakar bebas itu untuk mereka nilai, agar tidak wujud unsur prasangka dan spekulatif.
"Apa yang kita mahu ialah penilaian bebas tentang siasatan yang dibuat," kata beliau.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata DCA menghantar laporan awal mengenai nahas itu kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
"Kami belum buat sebarang keputusan sama ada akan menyiarkannya kepada media atau orang ramai," kata beliau.
Sumber T-M-I
No comments: