» » Bahan terdampar di pantai Australia bukan milik MH370


Bahan yang terdampar di pantai barat Australia minggu ini kelihatan bukannya daripada pesawat MH370 yang hilang tujuh minggu lalu, kata biro pengangkutan Australia hari ini.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mengkaji bahan yang terdampar di pantai 10 km dari bandar Ausgusta itu.

"Ia dikira hampir pasti bukan daripada MH370," kata jurucakapnya, Tony Simes.

Pesuruhjaya ATSB Martin Dolan sebelum ini memberitahu radio Australian Broadcasting Corporation (ABC) bahawa biro mengkaji gambar terperinci serpihan itu dan berpuas hati bahawa ia bukan petunjuk kepada pesawat yang sedang dicari.

"Kita tidak nampak apa-apa petunjuk kepada pesawat Boeing yang kita cari daripada apa yang kita lihat," katanya kepada radio ABC.

Selain mengkaji sendiri, ATSB juga memberikan gambar berkenaan kepada pasukan penyiasat Malaysia, agensi yang menyelia operasi mencari pesawat malang itu.

Operasi mencari pada Rabu semalam dilakukan di kawasan kira-kira 855 km di barat laut Perth.

Penerbangan MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Operasi melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mencari pesawat Boeing 777-200 itu, bermula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia didapati melencong daripada laluan asalnya.

Apabila analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Sumber T-M-I

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .