Pegawai pelajaran Bachok Amran Mustapha mengesahkan bahawa terdapat senarai guru-guru yang hendak dipindahkan dari daerah Bachok tetapi “ia tidak rasmi”.
Katanya, ia “senarai lama” yang dikumpulkan oleh pegawai pelajaran daerah lama yang tidak lagi bertugas di Bachok, lapor Malaysiakini.
“Tiada perpindahan dibuat berdasarkan senarai ini,” jelas Amran yang menyertai pejabat pelajaran Bachok minggu lepas, lapor portal itu.
Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan alasan mengapa pejabat pelajaran daerah mengesan sama ada guru-guru menjadi penyokong Pakatan.
Semalam, Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary berkata Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia terlibat dalam salah guna kuasa kerana menukarkan seramai lebih 80 guru di kawasan berkenaan.
Antara yang tersenarai adalah isteri kepada Naib Presiden PAS Pusat Datuk Husam Musa (gambar) iaitu Datin Rohana Abd Rahman.
Rohana adalah antara lebih 80 guru atau tepatnya 88 orang yang dijangka terlibat dalam pertukaran yang akan dilakukan pada 16 April ini akibat menyebelahi parti politik tertentu, kata Pakatan Rakyat.
“Memorandum yang diterima daripada Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendedahkan salah guna kuasa PPD yang dikatakan sangat sahih menggunakan alasan pertukaran yang sangat tidak relevan seperti menjadi penyokong kuat PAS," kata Ahmad Marzuk.
Sementara itu, persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) menghantar satu memorandum kepada Pejabat Pendidikan Negeri Pahang ekoran pertukaran tiga guru termasuk Cikgu Mohd Norizzat Mohd Johari, Pengerusi SGMM.
Memorandum bantahan itu dihantar oleh Pengerusi Pendidik Cikgu Normala Sudirman semalam yang menuntut agar pertukaran itu ditarik balik serta merta.
Pertukaran Mohd Nor Izzat dipercayai kerana kelantangan beliau menyuarakan pandangan dalam Sistem Aplikasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan bukannya arahan 'perpindahan atas keperluan perkhidmatan'.
"Saya ingin menegaskan bahawa arahan pertukaran secara zalim ini bertentangan dengan matlamat pendemokrasian pendidikan di Malaysia terhadap warga pendidik dalam mengangkat martabat profesionalisme perguruan dalam persada pendidikan negara," kata Normala dalam satu kenyataannya.
Sumber T-M-I
No comments: