Datuk Seri Hishammuddin Hussein menolak hasil kajian baru-baru ini yang menunjukkan hanya sebilangan kecil rakyat Malaysia percaya Putrajaya telus mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dengan menyifatkannya sebagai spekulasi dan tidak bertanggungjawab.
Pemangku menteri pengangkutan itu berkata, undian pendapat tidak tepat dan tidak mewakili pandangan majoriti rakyat Malaysia malah rakyat sendiri mahu kerajaan meneruskan bersama rakan lain dari serata dunia.
“Hanya sekumpulan masyarakat yang mungkin sinis mengenai kaedah kami berpandangan begitu. Namun, kebenaran akan terbukti. Kami tiada apa yang mahu disembunyikan,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Beliau diminta mengulas kajian yang dilakukan Merdeka Center yang mendapati 26% responden percaya kerajaan telus manakala 54% lagi berkata kerajaan menyembunyikan kebenaran tentang MH370.
Seramai 1,029 responden menyertai kajian itu yang menyatakan dapatan kajian sedemikian.
Keluarga penumpang pesawat MH370 dari China mendakwa Putrajaya menyembunyikan maklumat berhubung kehilangan pesawat itu.
Kemarahan berhubung kaedah Malaysia menjalankan siasatan dihamburkan di media sosial China malah dalam demonstrasi jalanan di luar kedutaan Malaysia di Beijing.
Setelah MH370 dilaporkan hilang, Kementerian Luar China menggesa Malaysia mempercepat penyiasatan dengan memberikan maklumat sahih.
Sumber T-M-I
No comments: