Isteri penumpang Australia pesawat Malaysia Airlines MH370 tidak dapat menahan dirinya daripada pergi ke lokasi pusat operasi mencari dan menyelamat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia di Perth bagi melihat sendiri sama ada pasukan mencari dan menyelamat mencari suaminya atau tidak.
Danica Weeks, yang menetap sekitar 10 minit perjalanan menaiki kereta dari lokasi tersebut berkata kepada CNN, dia diberi peluang melihat sendiri bagaimana pasukan mencari dan menyelamat menjalankan tugas mereka mencari suaminya dan 239 penumpang pesawat tersebut.
"Saya melihat apa yang mereka lakukan dan dibawa melihat proses pencarian dan saya rasa bertuah saya ada di sini, dekat dengan pusat carian dan saya boleh bertanya soalan," katanya dalam temubual bersama CNN di kediamannya pada Jumaat.
"Saya turut simpati bagi keluarga di negara lain – Beijing, Kuala Lumpur, dan AS, dan di mana juga – yang tidak dapat berada di sini," katanya.
Misi mencari dan menyelamat pesawat yang hilang secara misteri itu selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac kini mula memasuki tempoh sebulan.
Suami Danica – Paul Weeks, 39, – merupakan jurutera mekanikal dan dalam perjalanan ke Mongolia dengan menaiki pesawat tersebut bagi projek beliau yang seterusnya dan dijangka pulang ke kediamannya dalam beberapa minggu lagi untuk sambutan hari lahir anaknya.
"Kadangkala saya seperti melihatnya pulang ke rumah, namun saya perlu melihat realiti kerana ia hanya akan menyedihkan saya jika mengetahui kebenarannya. Kita semua menjangkakan pesawat itu terhempas. Namun sehinga kita menemui sesuatu yang konkrit, saya tidak akan bersedih," kata Weeks.
Weeks berkata kedua-dua anaknya, Lincoln, 3, dan abangnya Jackson, 11, terlalu muda untuk memahami situasi sebenar. Namun kedua-dua anaknya sering bertanya soalan yang sukar untuk dijawabnya.
"Kami akan melihat bintang di langit pada waktu malam dan dia akan berkata, 'Selamat malam ayah, saya sayang ayah. Jumpa ketika sarapan esok,' dan itu menghancurkan hati saya," katanya.
"Satu hari ketika saya bersiap untuk ke tempat kerja, dan anak saya bertanya, 'Adakah ibu akan pergi kerja selamanya macam ayah?' dan saya perlu menjelaskan kepadanya. Saya rasa dia mula faham yang ayahnya tidak akan kembali."
Weeks bagaimanapun berkata, dia mempunyai keyakinan tinggi terhadap pasukan penyelamat dan yakin carian itu dilakukan di lokasi yang betul.
"Kita perlukan sesuatu, keluarga perlukan sesuatu, bukan hanya saya, tetapi juga anak-anak saya. Mereka akan bertanya soalan. Saya rasa dunia mahukan jawapan kerana insiden ini luar biasa. Jadi kita perlu berjuang untuk mendapatkan jawapannya."
Weeks berkata beliau bersikap realistik dan menyedari kemungkinan punca insiden yang menimpa pesawat MH370 tidak akan diketahui.
"Saya memikirkan kemungkinan itu. Adakah saya akan menerimanya sekarang? Tidak. Kerana jika saya berada di dalam pesawat itu, Paul akan berjuang, bertanyakan soalan dan mencari apa yang berlaku kepada saya – untuk anak-anak kami dan dia," katanya.
"Saya hanya lakukan yang terbaik sekarang dan mencari kebenarannya," katanya lagi.
Sumber T-M-I
No comments: