» » Isteri pemimpin dunia tiba untuk seminar autisme


Isteri Presiden Sri Lanka, Shiranti Wickramasinghe Rajapaksa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada pukul 6.45 pagi ini bagi menyertai wanita-wanita pertama dan pejuang sosial utama dunia di Seminar Antarabangsa Autisme 2014 yang akan diadakan esok.

Ketibaan beliau melalui pesawat UL318 SriLankan Airlines disambut Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching.

Wanita Pertama Sudan, Fatima Khalid Ahmad Al Bashir pula dijangka tiba pukul 2.10 petang bagi menyertai seminar dua hari tersebut yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Antara yang tiba sebelum ini termasuk Wanita Pertama Kyrgyzstan, Dr Raisa Atambaeva, Wanita Pertama Albania, Odeta Nishani, Wanita Pertama Maghribi, Nabila Benkirane dan anak perempuan Perdana Menteri Bangladesh, Saima Wazed Hossain.

Seminar anjuran Program Permata dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pertubuhan bukan kerajaan Autism Speaks itu dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bertemakan 'Autism Is Not A Tragedy, Ignorance Is', ia memfokus mengenai pentingnya menyediakan program intervensi yang bermutu kepada kanak-kanak yang menghidap autisme.

Seminar juga berfungsi sebagai landasan kepada pelaksanaan program intervensi kanak-kanak autisme di negara ini iaitu Program Permata Kurnia yang dijangka bermula Mei tahun depan.

Kira-kira 1,500 peserta termasuk 36 peserta dari luar negara bakal menyertainya iaitu mereka yang terbabit dalam perkhidmatan intervensi, kemahiran dan pendidikan mengenai autisme, juga wakil-wakil kerajaan, tokoh akademik, pertubuhan bukan kerajaan, kumpulan sokongan dan individu.

Antara penceramah antarabangsa yang dijangka hadir termasuk Prof Dr Eric Fomboune dari Oregon Health and Science University, Prof Dr Cheryl Dissanayake dari La Trobe University, Australia dan Dr Wu Ruth Yu Yu dari Taipei Teachers University.

Sumber M-K

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .