Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, menerima isyarat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 berpatah balik ketika di ruang udara Laut China Selatan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China lapor akhbar Berita Harian.
Misi mencari dan menyelamat pesawat MAS itu diperluas ke kawasan perairan Selat Melaka berhampiran Pulau Perak berikutan isyarat pesawat berkenaan berpatah balik dikesan di lokasi tersebut.
Turut menerima isyarat pesawat berkenaan berpatah balik sebelum dilaporkan tiba-tiba terbang dengan ketinggian paras 1,000 meter dari kedudukan asalnya 10,000 meter, adalah Unit Kawalan dan Pengawasan Trafik Udara di Singapura.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang pada mulanya dijalankan di kawasan terakhir pesawat dikesan berhampiran sempadan perairan antarabangsa Malaysia-Vietnam kemudiannya diperluaskan ke Selat Melaka yang turut meliputi perairan Sumatera dan Laut Andaman.
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Sri Rodzali Daud, pada malam insiden kehilangan pesawat mengesahkan pangkalan udara di Butterworth, mengesan isyarat kedudukan pesawat berkenaan yang berpatah balik menghala ke laluan asalnya ke Kota Bharu, Kelantan, sebelum dipercayai melalui ruang udara pantai timur dan utara tanah air.
“Kali terakhir pesawat itu dikesan berada berhampiran Pulau Perak, di perairan Selat Melaka, pada jam 2.40 pagi oleh menara kawalan udara berhampiran sebelum isyarat hilang tanpa sebarang petunjuk,” katanya.
Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu kemudian dilaporkan memasuki ruang udara Selat Melaka sebelum isyaratnya kali terakhir dikesan ketika berada berhampiran Pulau Perak, yang masih dalam perairan negara.
Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Nasional Indonesia dengan dibantu pasukan keselamatan yang terbabit dalam SAR, menjalankan gerakan mengesan pesawat berkenaan di perairan Selat Melaka dengan skop kawasan dibahagikan kepada lima zon pencarian membabitkan pelbagai pasukan.
Kemungkinan itu disokong dengan laporan polis oleh beberapa penduduk yang mendakwa melihat kelibat cahaya lampu besar dan pesawat terbang rendah, dengan anggaran ketinggian 1,000 meter dari paras laut di Kota Bharu, Kelantan.
MAS menolak insiden kehilangan pesawat MH370 berpunca daripada masalah teknikal kerana pesawat berkenaan baru selesai menjalani penyelenggaraan 10 hari sebelum hilang pada 8 Mac, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya.
Ahmad Jauhari berkata, pesawat berkenaan turut dijadualkan menjalani pemeriksaan pada 19 Jun hadapan.
"Pesawat B777-200 menjalani pemeriksaan 23 Februari, 10 hari sebelum berlepas pada 8 Mac," katanya dalam satu kenyataan hari ini di Kuala Lumpur.
"Pesawat turut dijadualkan menjalani pemeriksaan pada 19 Jun 2014 di hangar KLIA, jadi tidak timbul isu keadaan pesawat," katanya.
Katanya, MH370 seperti pesawat lain milik MAS yang dilengkapi sistem pengawasan data berterusan, Aircraft Communications Addressing and Reporting System (Acars) yang menghantar data secara automatik.
"Bagaimanapun tiada panggilan kecemasan atau maklumat yang disampaikan," katanya.
"Pesawat itu dihantar kepada MAS pada 2002 dan sejak itu merekodkan sejumlah 53,465.21 jam penerbangan dengan 7,525 kitaran," katanya.
MH370 yang berlepas dari KLIA dan dijadualkan sampai di Beijing hilang dari radar selepas dua jam berada di udara.
Hari ini memasuki hari keempat operasi pencarian dilakukan, namun masih tidak terdapat sebarang petunjuk terhadap lokasi pesawat berkenaan.
Lokasi terakhir pesawat malang itu sebelum hilang dari radar adalah pada 065515 Utara (longitud) dan 1033443 Timur (latitud).
Misi mencari dan menyelamat kini disertai beberapa negara termasuk Australia, China, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan Amerika Syarikat.
Operasi mencari dan menyelamat itu turut melibatkan sejumlah sembilan pesawat dan 24 kapal laut.
No comments: