Orang ramai diminta agar tidak menambah stres yang sedang dialami para waris penumpang dan anak kapal pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr NKS Tharmaseelan berkata dalam keadaan getir sekarang, komunikasi dan empati adalah penting.
Beliau berpendapat MAS serta Kementerian Kesihatan perlu diberi pujian kerana menghantar pasukan pemberi penjagaan dan sukarelawan untuk memberi bantuan, penjagaan perubatan dan kaunseling kepada anggota keluarga penumpang dan anak kapal terbabit.
"Waris berada dalam keadaan trauma berikutan apa yang berlaku dan kerisauan serta stres mereka semakin bertambah berikutan keadaan tidak menentu tentang nasib MH370.
“Mereka menjadi dan kelihatan gelisah, berangin, lekas marah, mudah naik darah dan umumnya, sedih," katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Beliau berkata stres berterusan boleh membawa kepada masalah kesihatan yang serius seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi, diabetes, murung, gangguan ketenangan dan penyakit lain.
"Memandangkan MH370 adalah satu peristiwa misteri mendebarkan yang belum pernah disaksikan atau ditangani dunia, maka sebagai manusia, kita perlu mengelak daripada terdorong untuk mencari kesalahan dan bukannya memberi jawapan. Sama-samalah kita fokus untuk mencari MH370, bukan menyebabkan setiap orang dilanda stres," katanya Dr Tharmaseelan.
Pesawat Boeing 777-200ER ke Beijing, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 pagi 8 Mac. Ia dijadualkan tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Sehingga kini, nasib penumpang dan anak kapalnya tidak diketahui apabila usaha mencari, yang melibatkan pelbagai negara, belum membuahkan hasil.
Pesawat itu dilaporkan melencong daripada laluan asalnya apabila ada orang yang dengan sengaja mematikan sistem komunikasinya dan, menurut satelit Inmarsat, pesawat berkenaan terbang selama beberapa jam selepas itu.
Satelit itu kemudian terus mengenal pasti pesawat terbabit sejam sekali melalui apa yang dikenali sebagai 'electronic handshake' selepas ia hilang daripada skrin radar pada kira-kira pukul 1.30 pagi 8 Mac, dengan 'handshake' kali terakhir direkodkan pada pukul 8.11 pagi.
Sumber M-K
No comments: