» »Unlabelled » Cuaca dijangka lebih lembap mulai akhir Mac


Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjangkakan cuaca di seluruh negara menjadi lebih lembap mulai akhir bulan ini atau awal bulan depan berikutan bermulanya Monsun Peralihan.

MKN, yang mengadakan Mesyuarat Kumpulan Kerja Penyelarasan Cuaca Panas, Kering dan Jerebu dengan jabatan dan agensi semalam, menyatakan perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

MetMalaysia turut memaklumkan bahawa negara kini berada dalam fasa akhir Monsun Timur Laut.

"Keadaan serupa turut berlaku kepada negara jiran di rantau Asia Tenggara seperti Thailand dan Indonesia sehingga kerajaan di sana mengisytiharkan kemarau di beberapa wilayahnya," kata MKN dalam kenyataan.

Menurut MKN selain isu bekalan air, keadaan cuaca panas dan kering juga menyebabkan peningkatan risiko kebakaran hutan dan pembakaran terbuka di rantau ini termasuk di Malaysia.

Keadaan berjerebu yang melanda negara kini berpunca daripada pelepasan asap domestik hasil pembakaran terbuka, kebakaran hutan, asap kenderaan dan aktiviti kilang.

"Kemungkinan keadaan berjerebu itu disebabkan oleh jerebu merentas sempadan adalah tipis memandangkan corak tiupan angin dari arah timur laut masih berlaku," kata MKN.

Sehingga 6 petang tadi, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat dicatatkan di Pelabuhan Klang pada bacaan 241, manakala 13 stesen lain menunjukkan bacaan tidak sihat di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

Selain itu, usaha pembenihan awan sejak awal Februari lepas akan diteruskan oleh MetMalaysia bergantung kepada kesesuaian keadaan atmosfera.

Jabatan Bomba dan Penyelamat juga menerima lebih 500 panggilan sehari mengenai kebakaran hutan dan pembakaran terbuka, yang aktiviti pemadamannya dilaksanakan dengan kerjasama Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

MKN turut menyatakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga meningkatkan pelaksanaan prosedur tetap operasi iaitu Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut bagi mencegah dan mengawal punca kemerosotan kualiti udara.

Perintah larangan pembakaran terbuka juga diaktifkan di Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selain itu, MKN menyatakan sebagai persediaan menghadapi peningkatan penyakit berkaitan pernafasan, Kementerian Kesihatan menyediakan bekalan ubat-ubatan, peralatan, dan aset yang mencukupi di hospital dan klinik kerajaan terutamanya di kawasan yang mengalami penurunan kualiti udara.

"Orang ramai terutamanya golongan yang berisiko seperti pesakit asma, kanak-kanak dan warga tua dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik berhampiran sekiranya menghadapi sebarang masalah pernafasan," kata MKN.

Kementerian Pendidikan juga mengumumkan penutupan sementara sekolah di kawasan yang terjejas teruk akibat jerebu

Sumber M-K.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .