Catuan air di Selangor akan diperluaskan untuk fasa ketiga bermula 10 Mac ini, membabitkan kira-kira 1.5 juta lagi pengguna akan terjejas di Lembah Kelang.
Ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan yang terlibat meningkat kepada 3.6 juta orang, kata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Ketua Pegawai Eksekutif SPAN Teo Yen Hua berkata ia berikutan keputusan kerajaan negeri Selangor untuk mengurangkan lagi air yang dilepaskan dari empangan Sungai Selangor bagi memastikan bekalan yang mampan.
"Fasa ketiga pengagihan air berjadual (catuan) akan memberi kesan kepada lebih ramai pengguna dan kawasan.
"Berbanding dengan fasa kedua yang melibatkan 431,167 isi rumah, fasa ketiga akan memberi kesan tambahan 290,865 isi rumah menjadikan jumlah keseluruhan kepada 722,032 isi rumah atau 3.6 juta orang," katanya.
Catuan terkini kebanyakannya melibatkan daerah yang sama seperti sebelum ini, tetapi melibatkan lebih banyak kawasan.
Daerah itu adalah Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Langat, USJ-Subang Jaya dan Kuala Lumpur.
Sementara itu, Bernama melaporkan Teo berkata pelan itu juga menggantikan keseluruhan pelan catuan peringkat kedua yang dikeluarkan pada 28 Feb lepas.
"Namun, pelan catuan peringkat pertama yang melibatkan Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang ekoran penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi disebabkan pencemaran ammonia yang tinggi dalam Sungai Langat, akan diteruskan," katanya.
Teo berkata catuan peringkat ketiga itu berikutan tujuh empangan di Selangor yang terus menyusut iaitu Sungai Selangor, Sungai Tinggi, Sungai Semenyih, Sungai Langat, Klang Gates, Tasik Subang dan Sungai Batu.
"Paras empangan Sungai Selangor pada Jumaat lepas ialah 196.35m dan paras hari ini ialah 194.10m, yang menurun 2.25m dalam tempoh seminggu.
No comments: