Anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mendakwa pegawai peronda Jabatan Perikanan dan Pasukan Polis Marin (PPM) tidak mendapat peruntukan untuk minyak bot bagi memantau dan mengawal kemasukan nelayan asing.
Kamarul menyifatkan alasan itu tidak munasabah, selain memberi kesan kepada golongan nelayan yang kini tidak lagi dapat meraih tangkapan ikan yang memberangsangkan.
Beliau turut menempelak kerajaan kerana mampu membeli empat buah Kapal Misi Litoral (LMS) dari China yang merupakan salah satu daripada 14 perjanjian perdagangan bernilai RM144 billion.
"Satu lagi alasan yang tidak munasabah dan amat menyedihkan apabila nelayan 'komplen' kepada jabatan perikanan dan marin kenapa nelayan asing masuk ceroboh, jawapannya mahu ronda tapi tiada peruntukan minyak. Bayangkan alasan apa itu?
"Kerajaan kita boleh beli kapal perang daripada China beratus juta (ringgit), beli minyak untuk ronda tidak ada peruntukan untuk jaga nelayan miskin?
"(Perkara) ini datang dari nelayan yang dengar dari mulut pegawai," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut, Ketua Parti AMANAH Terengganu itu berkata, pengurangan peruntukan Bajet 2017 kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebanyak 10 peratus juga membuktikan kerajaan tidak prihatin terhadap kebajikan golongan itu.
"Ada banyak masalah yang belum diatasi, peruntukan telah dipotong (untuk) golongan yang termiskin iaitu nelayan," katanya.
No comments: