Peneraju pengeluar gula bertapis terbesar negara, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) meminta kerajaan menaikkan harga gula sebanyak 20 peratus berikutan kos gula mentah yang semakin tinggi.
Anak syarikat kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) itu turut berdepan peningkatan harga kos operasi dan menerima impak daripada penyusutan nilai ringgit.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif MSM, Mohamad Amri Sahari berkata, kos gula mentah meningkat hampir 40 peratus sejak awal tahun ini dan memberi kesan terhadap margin syarikat.
Katanya, kali terakhir kerajaan menaikkan harga gula pada 2013 iaitu daripada RM2.50 sekilogram kepada RM2.84 sekilogram.
Ujar beliau, MSM berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan berharap cadangan itu akan direalisasikan oleh pihak kerajaan.
“Kadar pertukaran nilai mata wang ringgit yang tidak menguntungkan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), peningkatan kos gula mentah dan struktur harga gula bertapis yang lemah menjejaskan margin operasi kumpulan,” katanya pada taklimat media mengenai keputusan kewangan MSM suku ketiga 2016, di sini hari ini.
MSM mencatatkan perolehan sebanyak RM633.12 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2016 berbanding RM546.49 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Berasaskan perbandingan tahun ke tahun, perolehan meningkat sebanyak 10.83 peratus berjumlah RM1.82 bilion didorong oleh jualan lebih tinggi bagi segmen domestik dan eksport, masing-masing sebanyak 23.2 dan 7.2 peratus.
Keuntungan sebelum cukai bagi suku ketiga tahun kewangan 2016 berjumlah RM32.75 juta manakala keuntungan bersih sebanyak RM23.31 juta.
Bagi tempoh sembilan bulan, Kumpulan terus memperoleh kemajuan dalam penyesuaian harga gula mentah yang tinggi, ketidakstabilan pertukaran mata wang dolar dan peningkatan harga gas asli namun dibantu oleh pe*ngukuhan mekanisme beroperasi serta pengurusan kewangan yang berhemah.
“Walaupun berhadapan suku ketiga yang mencabar, kami tetap berusaha untuk melalui ketidaktentuan ekonomi global semasa, kami yakin dapat melihat hasil pendapatan yang tinggi berdasarkan penguasaan pasaran yang kukuh,” katanya.
No comments: