» » » Kakitangan PTD disyaki lindungi kegiatan curi pasir di Pahang ditahan


Tiga lelaki termasuk seorang kakitangan kerajaan ditahan sekitar Temerloh kelmarin, kerana disyaki terlibat melindungi kegiatan mencuri pasir di sekitar Sungai Pahang yang mengakibatkan kerajaan negeri Pahang mengalami kerugian RM180,000 sebulan sejak pertengahan 2014.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata kakitangan awam berusia 48 tahun itu berkhidmat di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Temerloh difahamkan menerima RM8,500 sebulan daripada pengusaha pasir terbesar di Temerloh.

Dua lagi suspek yang ditahan ialah penyelia syarikat berusia 58 tahun dan pemandu lori, 49, yang dipercayai menawarkan rasuah RM500 bagi melepaskan enam buah lori yang ditahan SPRM kelmarin.

"Sindiket ini menggunakan doket (borang pengeluaran bahan mineral) yang sama bagi muatan perjalanan berganda untuk mengelakkan cukai yang perlu dibayar kepada PTD," kata sumber semasa dihubungi di Kuantan malam tadi.

Sumber berkenaan menambah semua suspek disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 kerana memberi dan menerima rasuah dan SPRM telah memperoleh perintah tahanan reman selama lima hari bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Najwa Hashim di Temerloh semalam.

Sumber berkenaan berkata siasatan ke atas suspek juga mendapati kewujudan satu lagi sindiket yang melindungi lori lebih muatan dengan penggunaan pelekat khas yang bermaksud 'telah kawtim'.

Difahamkan lori yang 'membayar' wang rasuah bulanan akan menerima satu pelekat bertanda untuk dikenal pasti oleh pegawai penguat kuasa yang terlibat dan lori berkenaan tidak akan diperiksa walaupun membawa melebihi had yang dibenarkan.

"Hasil operasi yang dilakukan dengan kerjasama pasukan khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan SPRM Putrajaya serta PTD Pahang, enam buah lori yang mempunyai pelekat demikian telah berjaya ditahan.

"Kesemua lori itu dipercayai digunakan dalam kegiatan mencuri pasir dan dilindungi sindiket ini," kata sumber.

Sumber menambah SPRM juga mengenal pasti 10 lagi anggota penguat kuasa yang disyaki terlibat menerima rasuah bulanan bernilai antara RM250 hingga RM350 seorang daripada sebuah syarikat.

Kesemua anggota penguat kuasa dan beberapa pengusaha pasir yang terlibat dijangka akan ditahan dalam masa terdekat, tambah sumber.

Difahamkan semua pasir yang 'dicuri' dari Temerloh itu dijual di Kuala Lumpur dan Selangor dan untuk memudahkan urusan pengeluaran setiap pengusaha terlibat perlu membayar 'wang pelincir' kepada anggota penguat kuasa sepanjang perjalanan ke sana.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki semasa dihubungi mengesahkan penahanan suspek namun enggan mengulas lanjut.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .