» » » Jumlah penagih dadah meningkat 100 peratus di Perlis


Terdapat peningkatan sebanyak 100 peratus dari segi jumlah penagih dadah di Perlis apabila seramai 1,430 Orang Kena Pengawasan (OKP) didaftarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis sehingga Ogos lalu.

Jumlah peningkatan berkenaan agak ketara apabila hanya 690 OKP sahaja yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah (Pencegahan) AADK Malaysia, Abdul Rahman Hamid, berkata peningkatan itu disebabkan hasil kerja keras AADK dalam kempen Perangi Dadah Habis-habisan (PDH).

“Walaupun peningkatan itu 100 peratus, ianya bukan satu yang membimbangkan kerana kita sedang menjalankan pelbagai operasi dalam mencapai sasaran Perlis bebas daripada najis dadah seawal tahun 2018.

“Peningkatan ini juga atas faktor kesedaran masyarakat dalam memerangi dadah dengan menyalurkan maklumat aktiviti tidak sihat di tempat mereka kepada AADK,” katanya kepada pemberita di sini, tadi dalam Program Pemantauan AADK di Pangsapuri Sri Sena, Kangar tadi.

Beliau berkata Pangsapuri Sri Sena yang terletak dalam daerah Kangar adalah antara 12 kawasan berisiko tinggi penyumbang aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini.

“Antara kawasan lain di Kangar yang dikesan berisiko tinggi mempunyai masalah yang sama adalah Kampung Sentua, Kampung Surau, Kampung Gunung Medan, Kampung Ujong Bukit, Kampung Syed Omar, Taman Jeliti, Taman Bunga Padi, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Tok Kuning, Kampung Telok Jambu, Kampung Padang Katong, Pangsapuri Wang Ulu,” katanya lagi.

Abdul Rahman berkata, daripada jumlah 1,430 OKP di Perlis, 82 peratus atau 1,170 penagih di negeri ini adalah golongan remaja dan belia yang berusia antara 18 hingga 39 tahun.

“Ini juga antara sebab mengapa kita menjalankan pelbagai operasi serta kempen secara agresif kerana kita dapati kebanyakkan ibu bapa tidak mengetahui anak mereka terbabit dalam penyalahgunaan dadah kerana kerana kurang diberikan pendedahan,” katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .