Seorang lelaki bersenjata pisau menceroboh masuk ke Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Perpaduan Bukit Sekilau, di Kuantan sebelum menyamun barang kemas milik dua guru sekolah itu pagi tadi.
Kejadian berlaku pada jam 8.15 pagi ketika sekumpulan 25 murid dan guru berkenaan dikatakan sedang sibuk mengatur persiapan untuk mengadakan majlis sambutan hari jadi bulanan sebelum dikejutkan dengan kehadiran penjenayah itu.
Menurut penjaga seorang daripada murid tabika berkenaan yang enggan dikenali, penjenayah yang dipercayai warga tempatan kemudian mengarahkan dua guru berkenaan masuk ke tandas sebelum mengarahkan mereka menanggalkan barang kemas yang dipakai.
Bagaimanapun, kesemua murid dan guru tidak dicederakan dan penjenayah berkenaan kemudian melarikan diri menaiki motosikal yang diletakkan di luar tabika itu.
Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat dan guru sekolah itu ketika ditemui pemberita bagaimanapun enggan memberikan sebarang kenyataan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh mengesahkan kejadian dan memaklumkan kerugian dianggarkan RM2,500.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda serta sebat.
No comments: