» » Butiran pertemuan YDP Agong dan Dr Mahathir tak akan didedahkan


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak berhasrat mendapatkan penjelasan daripada Istana Negara mahupun Jabatan Perdana Menteri berhubung titah Yang di-Pertuan Agong, berkaitan Deklarasi Rakyat yang diserahkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 16 September lalu

Ini kerana, menurut Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, pertemuan empat mata itu sebagai perbincangan sulit antara bapanya dengan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

“Kami hormati institusi istana dan ia adalah perbincangan tertutup, inti patinya tidak perlu didedah kepada umum. Biarlah setakat itu sahaja.

“BERSATU tidak mohon sebarang penjelasan, namun terkilan kerana kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai titah baginda tidak tepat,” katanya yang dipetik oleh akhbar Sinar Harian.

Mukhriz merujuk kepada kenyataan Najib bahawa Seri Paduka memaklumkan kepadanya bahawa baginda tidak boleh mencampuri urusan Deklarasi Rakyat yang mahu menyingkirkan perdana menteri kerana ia adalah tidak berperlembagaan.

Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri, penuh dengan kesilapan maklumat, seperti lokasi pertemuan, jawatan Mahathir, dan parti yang diwakilinya.

Mukhriz berkata adalah sesuatu yang menghairankan Najib yang menjadi tajuk perbincangan sulit itu boleh mengeluarkan kenyataan media dengan menegaskan Seri Paduka menolak Deklarasi Rakyat.

Sedangkan, katanya, sebarang kenyataan rasmi Tuanku Abdul Halim sepatutnya dikeluarkan oleh Istana Negara, Istana Anak Bukit atau melalui setiausaha sulit baginda.

“Sekiranya pendirian Yang di-Pertuan Agong dianggap penting dan perlu diambil serius, kenapa dua kenyataan rasmi Majlis Raja-Raja sebelum ini tidak diendahkan?

“Teguran terhadap 1MDB (6 Oktober 2015) dan Akta Majlis Keselamatan Negara (17 Februari 2016) telah dibuat Majlis Raja-Raja namun tiada respons daripada Najib dan kerajaan BN sebagai menunjukkan ketaatan kepada titah Tuanku,” katanya.

Sebaliknya, menurut beliau, Najib pantas mengeluarkan kenyataan rasmi sebagai titah baginda terhadap usaha Mahathir yang mewakili suara rakyat itu.

Pada 16 September lalu, Mahathir menghadap Tuanku Abdul Halim bagi menyerahkan memorandum Deklarasi Rakyat yang didakwa mengandungi 1.3 juta tandatangan rakyat Malaysia, di Istana Anak Bukit, Kedah.

Perbincangan berlangsung selama satu jam 15 minit.

Jabatan Perdana Menteri pada 21 September, mengeluarkan kenyataan dengan memetik Najib sebagai berkata, Tuanku Abdul Halim telah menjelaskan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Deklarasi Rakyat tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Baginda juga bertitah tidak boleh mencampuri usaha dijalankan BERSATU dan sebarang tindakan seharusnya menerusi parlimen atau pilihan raya.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .