» » » Bukti ekonomi Malaysia semakin tenat


Sebenarnya kita tidak memerlukan ahli ekonomi ataupun penganalisis pasaran untuk memberitahu yang ekonomi kita dan ekonomi dunia sedang dalam kelembapan.

Majoriti sudah pun berasa kesan buruk hasil gabungan kelemahan ekonomi dengan dasar-dasar yang kerajaan laksanakan bagi menanganinya.

Apa yang sedang diperkatakan oleh pakar ekonomi dan penganalisis hanyalah sekadar memberi perspektif kepada masalah yang kita hadapi setiap hari, sama ada ketika mencari pendapatan atau berbelanja.

Inilah realiti ekonomi negara kita sebagai negara membangun yang bergantung kepada bahan-bahan mentah utama dan perdagangan antarabangsa.

Yang terbaharu meramalkan keadaan lebih tegang bagi ekonomi kita adalah Bank Dunia. 

Beberapa hari lalu ia menyemak semula unjurannya mengenai pertumbuhan ekonomi kita.

Institusi kewangan antarabangsa yang beribu pejabat di Washington DC, Amerika Syarikat, itu telah mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi kita tahun ini kepada 4.2 peratus berbanding 5 peratus tahun lalu.

Ia meramalkan yang ekonomi Malaysia akan menjadi lebih lemah akibat kemerosotan permintaan dunia terhadap petroleum dan barang-barang keluaran kilang.

Ini adalah kali kedua Bank Dunia merendahkan unjuran kadar pertumbuhan ekonomi kita. 

Ia meramalkan yang harapan ekonomi kita dijangka bertambah baik pada 2017 dan 2018.

Seperti biasa, ia mencadangkan agar kerajaan terus melaksanakan perubahan struktur ekonomi dengan mengambil kira suasana antarabangsa yang dijangka terus mencabar.

Soalnya, dengan kelembapan berterusan harga petroleum dan permintaan eksport barang-barang kilang adalah sukar bagi Malaysia melakukan perubahan struktur tanpa menyulitkan lagi kehidupan rakyat jelata.

Atas alasan tidak mahu menyukarkan kehidupan rakyat jelatalah Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, tidak begitu menghiraukan pendapat agensi-agensi antarabangsa seperti Bank Dunia, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan badan-badan penarafan bebas seperti Standard&Poor’s, Moody dan Fitch.

Beliau lebih mengutamakan kepentingan rakyat jelata dan kepakaran dalam negara daripada puji-pujian dan tunjuk ajar agensi-agensi berkenaan.

Banyak kegiatan menyusun semula struktur ekonomi yang beliau lakukan adalah berpaksikan kepentingan negara dan kebajikan rakyat daripada mengejar penarafan tinggi oleh agensi-agensi antarabangsa.

Tetapi sejak satu sedekad yang lalu, pengurusan ekonomi negara banyak dipengaruhi oleh contoh dan tunjuk ajar dari luar. Misalnya dasar mengimbangkan belanjawan negara.

Walaupun pengimbangan belanjawan adalah dasar yang baik dan belanjawan seimbang pernah dicapai pada Zaman Dr Mahathir, pelaksanaan mendadak bermula era Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menjadi beban kepada rakyat jelata.

Langkah pengimbangan belanjawan paling radikal adalah memansuhkan subsidi secara berperingkat, bermula dengan subsidi bahan-bahan petroleum pada 2006.

Ia telah menyebabkan harga boleh kata hampir semua jenis barang dan perkhidmatan naik dengan banyak. 

Hari ini hampir semua subsidi pengguna yang meliputi bahan bakar, pengangkutan dan makanan telah dihapuskan. 

Hatta subsidi ke atas beras hancur 15 peratus makanan rakyat miskin pun sudah dimansuhkan.

Kenaikan harga barang dan perkhidmatan, peningkatan kos sara hidup dan pengurangan kuasa membeli menjadi lebih meruncing apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan mulai April 2015 .

Pengkaji ekonomi dan kewangan antarabangsa mengakui bahawa Malaysia adalah antara negara yang cukup patuh kepada piawaian dan peraturan antarabangsa walaupun ia tidak semestinya bermanfaat kepada rakyat jelata dan pengguna.

Jadi dalam kerajaan merangka Belanjawan 2017 adalah diharapkan agar kepentingan rakyat jelata tidak diabaikan semata-mata kerana hendak memenuhi piawaian antarabangsa dan mengejar penarafan yang tinggi.

Kita akui bahawa usaha mengimbangi belanjawan dengan mengurangkan defisit secara berperingkat dan mengurangkan hutan kerajaan adalah wajar tetapi ia hendaklah dilaksanakan tanpa menyusahkan rakyat jelata.

Kita sudah lihat bagaimana pengurangan mendadak peruntukan kepada perkhidmatan sosial seperti pelajaran, kesihatan dan kebajikan masyarakat telah mula mencetuskan kesan negatif dan menyayat hati.

Maaf cakap kalau saya kata, kita tidak pernah melihat keadaan dan kejadian seperti ini sebelumnya walaupun kita sudah beberapa kali mengalami krisis ekonomi. 

Belanjawan 2017 dan segala bentuk tindakan menyelamatkan ekonomi wajib menepati ikrar rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .