» » » Suami isteri maut ketika pulang iringi van jenazah ibu


Sepasang suami isteri yang mengekori van membawa jenazah maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebatang pokok kelapa sawit di Kilometer 39, Jalan Temerloh-Jengka, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.35 tengah malam itu, Mohamad Rizal Puteh, 37, dan Siti Munawarah Mohd. Zakri, 27, dalam perjalanan dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh ke Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut bagi mengiringi van yang membawa jenazah ibu Mohamad Rizal.

Difahamkan, ibu lelaki tersebut meninggal dunia di hospital berkenaan akibat sakit tua.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mat Rizal Mat Radzi berkata, semasa kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Temerloh ke arah Jengka.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta dinaiki pasangan suami isteri itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebatang pokok kelapa sawit.

“Rempuhan berkenaan mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit di dalam kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mat Rizal, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dibawa ke di Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut untuk urusan pengebumian.


Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.

“Siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan jalan lurus selepas selekoh tajam dan semasa kejadian, permukaan jalan adalah basah,” katanya.

Sementara itu, seorang saudara mangsa, Azhar Abdul Aziz, 32, berkata, semasa kejadian dia memandu kereta berasingan di belakang van jenazah tersebut sebelum dipotong kereta dinaiki Mohamad Rizal dan Siti Munawarah berhampiran Jengka 17.

“Saya hanya mengetahui tentang kemalangan maut itu setelah menerima panggilan daripada kakitangan hospital semasa tiba di rumah,” katanya.

Adik mangsa, Azrul Azhar Abdul Aziz, 32, berkata, mereka dalam perjalanan mengiringi van yang membawa jenazah ibu mereka dari Hospital Temerloh menghala ke Kota Gelanggi Dua.

"Waktu itu hujan renyai-renyai. Van jenazah di depan, saya di tengah dan abang di belakang. Tiba di Jengka 17, abang potong kereta saya dan ada sebuah kereta lain menyusuli kereta abang untuk pintas kereta saya.

"Tak lama selepas itu saya nampak kereta yang pintas saya tu berhenti di tepi jalan dan menunjuk ke arah pokok sawit.

"Waktu itu saya dah tak sedap hati tapi tak berhentikan kereta sebab tengah ikut van jenazah arwah mak. Sampai saja rumah kami hairan abang dan kakak tak sampai serentak padahal gerak sama-sama tadi.

"Pemandu van dapat panggilan telefon mengatakan ada kemalangan di Jengka 17. Masa tu saya dah syak itu abang. Saya datang ke lokasi untuk tengok. Waktu saya sampai kedua-duanya dah dikeluarkan dari kereta dan diberitahu sudah meninggal dunia," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .