» » Pengguna marah kerana dakwaan harga turun selepas GST tidak berlaku


Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu memperhalusi semula perbezaan antara Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, terdapat rungutan daripada pengguna mempersoalkan di mana barang yang sepatutnya turun harga apabila GST dilaksanakan.

"Kita sedia maklum sebelum GST dilaksanakan, kerajaan mengenakan SST sebanyak 10 peratus dan lima peratus, namun selepas GST dilaksanakan kepada enam peratus jumlah tersebut ada yang menurun dan naik.

"Jika sebelum ini SST 10 peratus selepas GST ia turun empat peratus kepada enam peratus, manakala SST lima peratus naik satu peratus kepada enam peratus GST," katanya selepas Program Pemeriksaan Pasar Raya TF Value-Mart, Teluk Intan, hari ini.

Tambahnya, ramai pengguna tertanya-tanya di mana barang-barang tersebut yang turun harga kerana bila membelinya di pasar raya atau kedai harganya masih sama atau lebih mahal.

"Kita ambil sebagai contoh pakaian dan alatan elektrik masa SST, cukai dikenakan 10 peratus tetapi selepas GST, cukai dikenakan enam peratus namun bila membeli harga sama atau lebih mahal.

"Sudah pasti pengguna nampak dengan jelas dengan harga yang saya maksudkan, jadi berlaku rungutan pengguna ke mana perginya barang-barang yang sepatutnya turun harga ini.

"Jadi di sinilah peranan KPDNKK dan kerajaan untuk mencari alternatif bagi meyakinkan pengguna dan melihat kembali rungutan mereka," katanya.

Samsudin berkata, kerajaan boleh melihat bagaimana harga ditentukan daripada bahan mentah dari kilang sehingga ke pemborong dan seterusnya peruncit.

"Itu merupakan rantaian GST dan ia boleh disemak semula bagi mendapatkan jawapan berbanding SST yang terus tertumpu kepada peringkat akhir.

"Jika kita tidak menumpukan ke arah yang saya katakan tadi kita tidak akan dapat tahu dan lihat perbezaan antara GST dan SST walaupun sudah lebih setahun ia dilaksanakan," katanya.

Samsudin yang juga merupakan Adun Ayer Kuning berkata, dari segi kefahaman rakyat mengenai GST pada hari ini amat baik cuma terdapat keluh kesah mereka mengenai satu perbezaan yang jelas pada GST hari ini.

"Perkara ini perlu diperhalusi khususnya oleh pihak KPDNKK supaya kepuasan pengguna mengenai GST dapat diyakini dan akhirnya memberi faedah besar kepada rakyat," katanya.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .