» » Kumpulan Deklarasi Rakyat mahu mengadap Raja-raja Melayu untuk dedahkan masalah korupsi yang sudah kronik di Malaysia


Kumpulan Deklarasi Rakyat akan menghantar petisyen kepada Majlis Raja-raja dalam usaha menuntut pembaharuan, termasuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin berkata petisyen tersebut adalah petisyen sama diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini dan akan disampaikan melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu.

"Selain itu, usaha juga akan dibuat untuk menghadap mana-mana Raja Melayu yang sanggup berjumpa dengan wakil Deklarasi Rakyat," katanya selepas menghadiri mesyuarat Deklarasi Rakyat di kediaman bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Seri Kembangan hari ini.

Menurut Kadir, mesyuarat itu adalah taklimat kepada kumpulan itu mengenai pertemuan Mahathir dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Muad'zam Shah.

Mahathir menyerahkan petisyen yang didakwa ditandatangani lebih sejuta rakyat Malaysia kepada Agong di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada 15 September lalu.

Kadir berkata mesyuarat itu turut menyentuh mengenai titah Raja-raja Melayu pada 6 Oktober tahun lalu yang mahukan kerajaan menyelesaikan siasatan berkaitan 1MDB.

Ia termasuk gesaan pada 17 Februari agar Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membuat beberapa pindaan ke atas Akta Majlis Keselamatan Negara.

Akta berkenaan yang dikatakan akan menghakis kuasa Agong diluluskan pada 4 Ogos tanpa persetujuan baginda.

"Mesyuarat berpendapat kerajaan telah mengingkari dan tidak mempedulikan titah Raja-raja mengenai 1MDB dan Akta MKN," kata Kadir.

Terdahulu penulis blog Raja Petra mendakwa Mahathir tidak dapat meyakinkan Agong mengenai kesahihan kesemua 1.4 juta tandatangan dalam petisyen Deklarasi Rakyat bagi menggesa perdana menteri meletak jawatan.

"Agong kemudian hanya memberikan senyuman sinis kerana cara Mahathir menjawab tidak meyakinkan baginda.

"Baginda kemudian melihat Mahathir hanya memandang ke bawah dan tidak bercakap lebih tentang Deklarasi Rakyat atau tandatangan sebanyak 1.4 juta itu," dakwa Petra.

Kesahihan mengenai jumlah tanda tangan itu juga timbul selepas pengaturcara komputer Azharuddin Othman pada Mei lalu mendakwa menjual pangkalan data yang mengandungi butir-butir peribadi 900,000 individu.

Beliau mendakwa aktivis, Syarul Ema Rena Abu Samah membeli pangkalan data itu untuk meningkatkan bilangan pempetisyen Deklarasi Rakyat.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

1 comments:

  1. Kenapalah ko tak buat solat hajat banyak2.Mohon dari Allah tunjukkan kita penyelesaian yang terbaik.Lain cara dah tak ada.Semua undang2 dan perlembagaan dah dibuat utk beri kuasa penuh pada PM.Orang2 dulu lah punya kerja.Jadi tak payah lah kita sibuk sedih ke atau tempelak siapa2 pun.Iktibar yg kita boleh ambil dan pegang dlm kes ini ialah, "manusia itu makhluk yg lemah dan tidak dapat mengawal apa2 didunia ini.Sesungguhnya Allah swt yg maha mengetahui dan maha berkuasa.Dia yang akan menetapkan apa yang terbaik untuk kita".Jadi tak payah kecoh2 dan buat dosa tak tentu hala.

    ReplyDelete

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .