» » Penyakit kuku dan mulut tak jejas bekalan daging lembu di Johor untuk Hari Raya Aidilfitri 2016


Bekalan daging lembu di Johor khususnya di daerah Mersing tidak terjejas walaupun penyakit kuku dan mulut dikesan menjangkiti ternakan lembu di kawasan Mukim Teriang dan Endau, dekat Mersing, sejak awal bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor Ismail Mohamed berkata setakat ini bekalan daging lembu mencukupi memandangkan penyakit tersebut hanya menjangkiti lembu yang diternak secara bebas dan bukannya secara ternakan lain termasuk feedlot.

"Untuk mengelakkan wabak menular, kami sudah menyekat pergerakan pemindahan keluar masuk ternakan yang dikenal pasti sehingga penyakit ini dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Pasar Tani Khas Menjelang Aidilfitri oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pasar Tani Datin Halimah, Larkin, di Johor Bahru hari ini.

Ismail berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor juga sentiasa menjalankan pemantauan di pusat-pusat penyembelihan ternakan terbabit di seluruh negeri ini bagi memastikan penyembelihan yang dilakukan mendapat permit yang sah.

Beliau sehubungan itu menasihati para penternak supaya mengambil maklum mengenai penyakit berkenaan dan mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan dengan tidak melakukan penyembelihan tanpa mendapatkan permit.

Dalam pada itu, Ismail berkata sejumlah 23,220 ekor ayam, 112 ekor lembu dan 6,050 biji kelapa disediakan oleh kumpulan Usahawan Peserta Pasar Tani sepanjang program Pasar Tani Khas Menjelang Aidilfitri di 18 pasar tani di negeri ini.

Beliau berkata daripada 18 pasar tani itu, tujuh daripadanya akan mengadakan jualan khas selama dua hari iaitu pada Isnin (4 Julai) dan Selasa ini (5 Julai) iaitu Pasar Tani Komuniti di Mersing, Pasar Tani Datin Halimah di Larkin, Pasar Tani Kampung Melayu di Kluang, Pasar Tani Kekal Bukit Gambir di Tangkak, Pasar Tani Indahpura di Kulai dan Pasar Tani Sanggar Kota di Kota Tinggi.

Katanya terdapat tiga pasar tani yang mengadakan jualan khas pada hari Selasa sahaja iaitu Pasar Tani Pesta Kampung Dato' Onn di Batu Pahat, Pasar Tani Perkarangan Stadium Mini Pontian di Pontian dan Pasar Tani Taman Yayasan di Segamat.

"Enam pasar tani lain pula akan mengadakan jualan khas pada esok (3 Julai) iaitu Pasar Tani Bandar Baru Uda, di sini, Pasar Tani Taman Nusa Perintis di Gelang Patah, Pasar Tani Taman Universiti di Skudai, Pasar Tani Taman Sri Pulai di Skudai, Pasar Tani Mini Stadium Muar serta Pasar Tani Jalan Naib Long dekat Tangkak," katanya.

Sementara satu pasar tani mengadakan jualan khas pada hari ini iaitu Pasar Tani di pusat bandar Pasir Gudang, katanya.

Ismail berkata para pengguna disarankan untuk datang lebih awal bagi memperoleh bekalan yang diperlukan dan pihaknya memberi jaminan bahawa barang jualan di setiap pasar tani itu bukan sahaja segar malah harganya lebih rendah lima hingga 10 peratus daripada pasar awam di negeri ini.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .