» » » Beri amaran kepada semua pengamal rasuah di Malaysia yang kini bebas


Disebabkan negara sedang menuju kehancuran akibat rasuah yang meluas, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, orang atasan perlu menunjuk teladan yang baik.

Lebih penting, katanya, pemimpin perlu menentukan pendidik memberi penekanan mengasuh pelajar dari peringkat tadika hingga ke sekolah.

Kata bekas perdana menteri itu masalah rasuah hanya dapat diatasi apabila wujud budaya menolak amalan berkenaan pada hidup manusia.

"Benar rasuah terdapat di mana-mana sahaja. Tetapi ia amat berkurangan jika budaya masyarakat atau bangsa itu memandang keji dan menolak rasuah," katanya.

Dalam pos terbaru di blognya Dr Mahathir memulakan tulisan beliau dengan menyatakan rasa kesal terhadap sikap pengundi di pilihan raya kecil baru-baru ini yang menerima "duit, beras dan barang elektrik."

Katanya penduduk di dua kawasan yang terlibat dalam pilihan raya kecil berkenaan tentu sedar mereka menerima suapan rasuah.

"Yang memberi tentu tahu juga ialah, mereka melakukan perbuatan salah di sisi undang-undang dan juga di sisi agama yang mereka anuti.

"Kerana rasuah inilah pihak yang menyogok mendapat kemenangan," katanya.

Lipat ganda dosa

Menurut bekas presiden Umno itu kemenangan yang diperoleh melalui cara tidak halal bukanlah kemenangan sebenar.

Memberi contoh beliau berkata barangan yang dicuri tidak halal digunakan atau dimakan.

"Demikian juga (jika) kemenangan itu tidak halal.

"Di dunia ini mereka tidak dapat dihukum kerana mereka sendiri yang berkuasa ke atas proses mendakwa dan menghukum.

"Tetapi perbuatan tidak mendakwa dan menghukum juga salah dari segi undang-undang duniawi serta agama. Ini juga melipatgandakan kesalahan dan dosa perlakuan mereka.

"Sogokan yang diberi dan diterima oleh penerima sudah dua kali haram.

"Punca duit yang disogok juga haram kerana ia didapati dengan cara haram. Mereka yang menerima (wang berkenaan) dengan ini menerima duit tiga kali haram," katanya.

Pada 18 Jun lalu pilihan raya kecil diadakan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar ekoran kematian penyandangnya dalam kemalangan helikopter di Sarawak.

Di kedua-dua pilihan raya kecil itu Dr Mahathir turun berkempen untuk calon Pakatan Harapan namun mereka gagal mengatasi undi diperoleh BN.

Tahu haram tapi cuba halalkan


Kata Dr Mahathir Islam membenarkan penganutnya bertaubat namun ia hanya diterima tuhan jika pelakunya tidak mengulangi kesalahan pernah dibuat.

"Mereka yang menunggu-nunggu untuk (mendapat) sogokan di masa hadapan harus ingat pesanan dalam al-Quran berkenaan bertaubat.

"Rasuah adalah suatu jenayah yang keji dan kotor. Ia merosakkan masyarakat, menindas yang miskin, menghalang kemajuan dan kesejahteraan, melemahkan dan mempermudahkan penjajahan oleh bangsa lain," katanya.

Menurut Dr Mahathir pihak yang cuba menghalalkan rasuah tetap termasuk dalam golongan penjenayah berdosa.

Lebih buruk lagi, katanya, mereka tahu larangan agama mengenai rasuah namun tetap cuba menghalalkan amalan berkenaan.

"Dosa mereka tentu berlipat ganda jika mereka mendakwa bahawa rasuah itu halal, maka orang lain akan menerima rasuah.

Sambil menyatakan sedih kerana rasuah banyak dilakukan orang Islam, Dr Mahathir berkata ia berlaku kerana tidak ada tekanan daripada pihak yang bertanggungjawab mendidik mengenai amalan berkenaan.

"Justeru itu ia tidak termasuk dalam nilai hidup yang dipegang sebagai sebahagian daripada budaya orang Islam Malaysia sekurang-kurangnya," katanya.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .