Segelintir peniaga ayam di Pasar Siti Khadijah di sini mengambil kesempatan sempena sambutan Aidilfitri dengan menjual ayam sehingga RM30 seekor tanpa menggunakan alat penimbang.
Perbuatan itu dikesan dalam pemeriksaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan di pasar berkenaan hari ini.
Pengarahnya, Datuk Abdul Ghani Harun berkata, hasil pemeriksaan itu mendapati ada peniaga meletakkan tanda harga RM8 bagi sekilogram ayam namun menjualnya dengan harga RM12 sekilogram.
"KPDNKK Kelantan mengesan kebanyakan peniaga menaikkan harga ayam sejak Khamis lepas dan kita menerima 16 aduan dari seluruh negeri berhubung kes berkenaan," katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.
Justeru, katanya, pihaknya mengeluarkan 17 notis tunjuk sebab kepada peniaga ayam di pasar tersebut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Menurutnya, semua peniaga memberi alasan, pembekal mengenakan harga yang tinggi sehingga RM16 seekor memaksa mereka menjual ayam pada harga tinggi.
"Oleh itu kita akan bertemu pembekal ayam pada petang ini untuk siasatan lanjut," katanya.
No comments: